Ciri-ciri tersebut semakin ketara apabila kanak-kanak berkenaan memasuki alam persekolahan dan mula belajar untuk fokus kepada belajar membaca serta menulis.

Secara umumnya, disleksia adalah gangguan dalam kemampuan seseorang sama ada dalam proses membaca mahupun menulis, biarpun mereka telah berusaha bersungguh-sungguh.

Masalah ini antaranya berpunca daripada faktor genetik, yang kesannya merangkumi keseluruhan aktiviti dalam kehidupan seperti proses visual, auditori (antara gaya pembelajaran), ingatan dan emosi.

Begitupun, masalah dalam memahami arahan yang diberikan adalah yang paling tinggi berlaku dalam kalangan kanak-kanak ini.

Justeru, beberapa pendekatan dan strategi secara verbal mahupun bukan verbal.yang melibatkan individu disleksia daripada pelbagai peringkat umur boleh diambil bagi meningkatkan prestasi mereka.

Antaranya, latihan BrainRx yang dibangunkan bagi meningkatkan keupayaan kemahiran kognitif melibatkan kefungsian otak.

Pembantu Psikologi Pusat Rehabilitasi Hospital KPJ Tawakal, Kuala Lumpur, Affaf Noor Saidi berkata, latihan BrainRx tidak mengajar individu disleksia mengenai pengetahuan akademik seperti di sekolah.

Sebaliknya, kemahiran kognitif utama merupakan teras yang diperlukan otak bagi menerima maklumat untuk dipelajari, dibaca dan memberikan tindak balas dengan setiap perkara yang berlaku dalam persekitaran mereka.

“Dalam hal ini, latihan BrainRx mengambil langkah yang berbeza dalam mengembangkan kemahiran mempelajari tahap kognitif individu disleksia secara berperingkat-peringkat.

"Peringkat pertama ialah, mengenal pasti keupayaan otot pada awal perkembangan manusia, yang menjadi sebahagian terhadap keseluruhan perkembangan kesihatan.

"Peringkat kedua pula melibatkan kemahiran motor dan deria merangkumi kemahiran mendengar, melihat dan menerima maklumat serta pergerakan fizikal,” katanya pada Forum Kesihatan bertajuk Disleksia dan Masalah Pembacaan di Hospital KPJ Tawakal, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Affaf Noor berkata, jika salah satu kemahiran kognitif dikesan lemah, ia akan menjejaskan proses menerima dan menyimpan maklumat di dalam bank fikiran.

Namun, kedua-dua kemahiran ini dapat dibangunkan secara semula jadi hasil daripada interaksi di sekeliling individu disleksia.

Bukan itu sahaja, sistem yang melibatkan keupayaan kognitif pula melibatkan keupayaan menganalisis maklumat, mengingati semula perkara yang berlaku dan mengenal pasti pelan tindakan ketika berhadapan dengan sebarang situasi.

“Tahap tertinggi adalah pembelajaran akademik. Keupayaan ini wujud hasil daripada keputusan dalam menerima arahan seperti membaca dan menaip yang bergantung kepada kekuatan dalam menggariskan kemahiran kognitif.

Tindak balas

"Dalam menjalani latihan BrainRx ini, ia adalah latihan one-on-one yang memerlukan tempoh masa tertentu bagi mendapatkan tindak balas lebih positif dan mengurangkan mereka mengulangi kesilapan yang sama.

"Namun, sekiranya individu disleksia menunjukkan respons yang memberangsangkan dalam kadar masa yang pendek, proses pelajaran dapat bertukar menjadi lebih pantas,” katanya.

Dia berkata, setiap prosedur yang disediakan dalam program BrainRx, membantu kemahiran belajar dengan efisien secara automatik, sekali gus membolehkan minda lebih fokus mengingati dan memahami setiap mesej yang diperoleh.

Setelah selesai tempoh latihan BrainRx, barulah disusuli dengan ReadRx, iaitu latihan intensif bunyi kepada kod bacaan dan ejaan yang sesuai bagi kanak-kanak enam tahun sehinggalah dewasa.

ReadRx meliputi kesemua prosedur BrainRx, serta latihan proses auditori yang ditambah dengan bacaan asas dan kod kompleks.

Latihan ini mampu membantu dalam aspek ingatan jangka panjang melalui kaedah pendengaran dan mencatat nota, proses kecekapan otak dalam mengendalikan tugasan dengan tepat, kefungsian ingatan, proses auditori serta memanipulasi bunyi yang didengari.