Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, tindakan tersebut diambil selepas operasi yang dijalankan Jabatan Kesihatan negeri di sekitar Lukut, pekan Port Dickson dan Telok Kemang.

Jelasnya, antara kesalahan yang dikesan dalam operasi itu ialah pemilik tidak mendaftarkan premis makanan, pengendali makanan tiada sijil latihan pengendalian makanan serta tidak menerima suntikan tifoid.

“Kita juga mendapati pemilik premis gagal mengekalkan kebersihan makanan, pekerja tidak memakai apron dan penutup kepala serta tidak menjaga kebersihan diri dan susulan itu arahan penutupan premis dibuat di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Selain itu, tujuh notis yang boleh dikompaun di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan dengan jumlah keseluruhan kompaun bernilai RM29,000," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Veerapan berkata, dalam Operasi Premis Makanan Bersih itu sebanyak 51 premis telah diperiksa melibatkan lapan pasukan daripada Jabatan Kesihatan negeri, Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri serta Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan.

Beliau juga mengingatkan semua pengusaha premis supaya menjaga kebersihan dan etika penyediaan makanan lebih-lebih lagi Port Dickson menjadi tumpuan pelancong dan orang ramai.

Katanya, sehingga bulan lalu, 6,255 premis makanan di negeri ini diperiksa dengan 88 premis atau 1.41 peratus daripadanya diarah tutup sementara manakala 943 lagi menerima notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dengan keseluruhan kompaun berjumlah RM249,850. - UTUSAN ONLINE