Ini kerana isu kesihatan mental akan menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung menjelang 2020 dan dijangka menjadi salah satu masalah utama dalam era digital.

Penaung MPA, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penubuhan bahagian berkenaan diyakini mampu menyelaraskan perkhidmatan psikiatri dan penjagaan primer, meningkatkan bilangan kaunselor di klinik kesihatan utama, memperbaiki program latihan, menangani stigma di pelbagai sektor, mengadakan kempen literasi dan meningkatkan promosi kesihatan mental.

“Kementerian perlu menyediakan peruntukan untuk program pencegahan dan inisiatif bagi memerangi stigma terhadap mereka yang mempunyai penyakit mental.

“Perkara ini tidak boleh diambil ringan kerana Kajian Sistem Kesihatan Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan menunjukkan masalah kesihatan mental akan memberikan impak besar terhadap ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, stigma terhadap penyakit mental masih wujud dan kajian menunjukkan bahawa 40 peratus rakyat akan atau telah mengalami masalah kesihatan mental dan mengganggu kehidupan .

“Isu kesihatan mental akan menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di Malaysia selepas penyakit jantung menjelang 2020 melainkan langkah yang tepat diambil untuk menangani isu tersebut,” katanya.

Tegas beliau, semua pihak perlu menangani penyakit mental dan meningkatkan strategi pencegahan dan program berkesan untuk menguruskan kesejahteraan mental.

Malah, kesihatan mental di tempat kerja juga perlu diberikan perhatian kerana dijangka menjadi salah satu masalah utama dalam era digital baharu yang akan menjejaskan produktiviti kakitangan mana-mana organisasi.

Katanya, kerajaan dan majikan perlu sedar bahawa pengabaian kesihatan mental dan aspek psikososial di tempat kerja bukan sahaja akan merugikan pekerja tetapi juga secara langsung memberi kesan kepada produktiviti dan kecekapan organisasi berkenaan. - UTUSAN ONLINE