Pensyarah dari Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr Noor Hashida Hashim berkata, pihaknya mendapati tikus yang diberi air kelapa atau nama saintifiknya, Cocos nucifera L selama sebulan menunjukkan peningkatan dari sudut motiliti atau pergerakan, viabiliti (hidup mati) dan morfologi (bentuk) sperma haiwan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan kajian terperinci pada masa akan datang untuk melihat kesan air kelapa dalam membantu mengatasi masalah ketidaksuburan lelaki.

“Kehadiran L-arginine, poliamina, vitamin C, asid askorbik, kalsium, magnesium, asid indole-3-asetik dan selenium menyumbang kepada kesan perlindungan yang diperlukan dalam mengekalkan motiliti, viabiliti dan morfologi sperma tikus.

“Air kelapa muda ini berpotensi memulih ketidaksuburan tikus jantan dan kemungkinan pada masa hadapan boleh digunakan sebagai rawatan alternatif untuk ketidaksuburan pada orang lelaki,” katanya ketika ditemui selepas Seminar Perubatan Integratif 2018 ‘Ke Arah Kelestarian Kesihatan’ di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Kajian beliau bersama pelajar tahun akhirnya memenangi kategori poster mengatasi 13 lagi penyertaan lain dalam seminar tersebut. - UTUSAN ONLINE