Kegilaan untuk putih tidak terhenti pada kulit sahaja, gigi juga menjadi sebahagian aset tubuh yang dilihat lebih berharga jika lebih putih. Lihat saja iklan-iklan serbuk pemutih gigi yang tertayang dalam media sosial, ia menjadi petunjuk kepada kecenderungan dan tingginya permintaan terhadap bahan-bahan memutihkan gigi.

Ingin saya kupas beberapa bahan semula jadi yang dikatakan dapat memutihkan gigi secara alami. Paling popular kini di media sosial ialah serbuk arang. Mungkin dahulu nenek moyang kita menggunakan arang dapur dan melumatkannya untuk digunakan sebagai ubat gigi. Mungkin kerana zaman dahulu, mereka sukar mendapatkan ubat gigi komersial.

Kini, penjual-penjual cenderung menggunakan atau mengaku menggunakan activated charcoal sebagai bahan asas pemutih gigi. Ya, tidak disangkal activated charcoal ialah arang yang sudah dirawat supaya selamat digunakan dalam bidang perubatan. Malah activated charcoal ini digunakan sebagai penyerap toksin dan racun di dalam usus. Justeru, bahan ini digunakan untuk merawat cirit-birit, ketidakhadaman dan kembung perut kerana sifat menyerapnya.

Mungkin berdasarkan kepada teori penyerapan ini, penjual menganggap arang boleh menyerap dan menarik warna dari dalam gigi menyebabkan gigi menjadi lebih putih. Ini tidak boleh dikatakan benar kerana tidak cukup kajian saintifik yang menyokongnya. Secara am, arang atau activated charcoal yang ditumbuk dan disapukan pada gigi serta digilap dengan berus gigi hanya dapat membuang kotoran pada permukaan gigi. Malah lebih parah jika arang tidak cukup halus dapat menghakis permukaan gigi menjadikan gigi nipis. Apabila enamel menipis gigi akan menjadi sensitif dan ramai yang tidak tahu gigi sebenarnya akan kelihatan lebih kuning kerana dentin yang berwarna kuning akan lebih kelihatan bila sarung enamel yang putih makin menipis.

Ada juga yang menyarankan penggunaan garam kasar sebagai ubat gigi untuk memutihkan gigi. Sebenarnya, garam tidak berfungsi memutihkan gigi. Penggunaan garam kasar, seperti arang tadi, malah lebih serius boleh menyebabkan hakisan pada gigi kerana partikelnya yang besar. Hablur garam kasar juga bersifat lebih tajam, jika terkena gusi semasa memberus gigi, ia akan menyebabkan gusi cedera. Malah untuk jangka panjang gusi mungkin mengalami keadaan resesi dan turun daripada tempat lekatan asal menjadikan gigi kelihatan lebih panjang kerana akar gigi terdedah seterusnya mengakibatkan gigi sensitif.

Saya tahu, ramai juga yang rajin melayari internet mencari bahan alternatif memutihkan gigi. Ada yang menyarankan menggunakan serbuk baking soda menggantikan ubat gigi. Ada juga yang menyarankan mencampurkan baking soda dan buah strawberi atau nanas sebagai ubat gigi setiap hari untuk mendapatkan gigi yang putih. Ada juga yang menggunakan cuka epal sebagai campuran kepada baking soda.

Dikatakan asid dalam buah dapat memutihkan gigi dan baking soda dapat membuang kotoran pada gigi. Sekali lagi, tiada kajian saintifik yang menyatakan asid buah dan baking soda dapat memutihkan gigi. Mungkin untuk jangka waktu sekejap selepas memberus gigi, anda akan melihat gigi agak berkapur sekali gus nampak seakan lebih putih. Ini kerana tindakan asid pada gigi. Yang pasti gigi tidak akan terus menerus menjadi putih sebaliknya hanya bersifat sementara. Hakikatnya ia sangat lemah, lembut dan senang dihakis apabila diberus dengan kuat. Penggunaan bahan itu sebagai ubat gigi juga akan menipiskan enamel jika terlalu kerap.

Hati-hati juga jika anda ingin mengikuti perkara yang diajarkan dalam Youtube dan internet. Saya pernah terbaca dalam internet iaitu hidrogen peroxide digunakan semasa memberus gigi dan boleh memutihkan gigi di rumah. Ya betul, hidrogen peroxide ialah bahan kimia berasid yang digunakan oleh doktor gigi untuk proses memutihkan gigi iaitu meluntur atau memutih, namun doktor gigi menggunakan hidrogen peroxide dalam keadaan terkawal dan dengan isolasi tisu lembut yang sempurna. Doktor gigi juga memastikan pesakit tidak tertelan bahan kimia tersebut serta memastikan tidak meleleh pada gusi dan lidah kerana boleh menyebabkan kecederaan. Saya sama sekali tidak mengesyorkan memberus gigi dengan hidrogen peroxide di rumah kerana boleh mengakibatkan lebih mudarat daripada manfaat jika tidak digunakan dengan betul.

Perkara yang saya cuba kupaskan ini bukanlah bertujuan mengajar dan mendorong pembaca mencari bahan-bahan tersebut untuk dicuba hasilnya. Saya berharap agar pembaca lebih bijak. Bahan-bahan tersebut cumalah craze sementara dan saya sebagai doktor gigi tetap tekankan penjagaan kesihatan gigi dengan memberus gigi menggunakan ubat gigi berflourida untuk mengelakkan kejadian kaviti, menggunakan berus gigi berbulu halus untuk mengelakkan hakisan gigi, memberus gigi dua kali sehari untuk menjaga kebersihan gigi serta berjumpa doktor gigi anda enam bulan sekali untuk memastikan gigi dalam keadaan optimum. Jika ingin gigi yang putih bak mutiara, doktor gigi ialah individu yang sesuai untuk anda mendapatkan nasihat. Selamat berhujung minggu.