Pesakit juga enggan menjalani rawatan kemoterapi kerana beranggapan ia membuatkan kanser semakin teruk dan membunuh sel baik. 

Terbaru, timbul dakwaan jus durian belanda yang dikatakan berkesan merawat kanser walaupun sehingga ke hari ini tiada bukti yang menunjukkan ia mampu merawat sebarang jenis kanser,  bahkan mungkin berlaku interaksi negatif dengan rawatan kanser perubatan moden. 

Bingung juga apabila difikirkan. Hampir tak percaya pun ada. Bagaimana, di tengah-tengah era lambakan maklumat dan memperolehnya semudah menekan butang di hujung jari, masih ramai terdedah kepada fakta tidak betul atau salah? Inilah persoalan cuba dirungkaikan oleh Dr. Aminudin Rahman Mohd Mydin, Pakar Perunding Onkologi Klinikal dan Radioterapi dari Hospital Pakar KPJ Damansara, Kuala Lumpur.  

“Banyak mitos perlu diperbetulkan supaya masyarakat dapat maklumat sebenar dan datang ke tempat yang sepatutnya jika disyaki ada kanser. Sekitar 30-40 tahun dahulu kemungkinan kurang maklumat, tahap perkhidmatan kesihatan yang masih kurang dan rawatan perubatan yang agak agresif.

“Sebagai contoh pembedahan kanser payudara, keseluruhan payudara akan dibuang atau kemoterapi yang banyak meninggalkan kesan sampingan. Namun selepas 10-20 tahun pencapaian dalam perubatan sudah semakin baik.  

“Tetapi akhir-akhir ini, kita bukan kurang maklumat tetapi misinformation atau mendapat maklumat yang salah atau kurang tepat. Kesannya, pesakit takut untuk mendapatkan rawatan di hospital. 

Menurut Dr. Aminudin terdapat dua kepercayaan yang tidak betul berkaitan kanser. Pertama, mengaitkan kanser sebagai penyakit yang berpunca daripada buatan orang disebabkan pesakit lazimnya mengalami muntah darah atau ketumbuhan yang kelihatan seperti magis atau misteri. 

“Kedua ialah kepercayaan terhadap rawatan alternatif yang menjanjikan penyembuhan 100 peratus dan tanpa kesan sampingan. Ia sangat mustahil apatah lagi membabitkan kanser. 

“Kanser adalah penyakit yang sukar dirawat. Doktor tidak akan secara suka–suka memberi ubat dan menjalankan rawatan kemoterapi yang ada kesan sampingan. Doktor sebenarnya pun mahu beri ubat yang kurang sampingan dan efektif,” katanya yang memberitahu ada banyak perkembangan terbaru dalam rawatan kanser terutama dari segi kesan rawatan. 

“Cadangan rawatan diberikan berdasarkan pengalaman doktor yang bertanggungjawab terhadap pesakit, doktor lain yang merawat pesakit lain dan doktor-doktor satu dunia yang membuat kajian mengenai pesakit kanser selama lebih 100 tahun. 

“Itu yang kita cadangkan berbanding rawatan alternatif yang bergantung kepada testimoni,” katanya yang meminta pesakit membuat pilihan untuk percaya yang mana satu, tetapi sekiranya pesakit masih memilih alternatif, para doktor tidak boleh memaksa.  

Selain itu, salah faham berkaitan punca serangan kanser juga mengaitkan dengan penggunaan deodoran sehingga menimbulkan rasa takut, walaupun ia telah pun dibuktikan sebaliknya. 

“Bagaimana mereka boleh terlepas maklumat yang sangat jelas. Yang terbaru, passive  smoking juga boleh menyebabkan kanser, tetapi pada masa sama kita berasa hairan kes kanser semakin meningkat di Malaysia terutama dalam kalangan golongan muda dan wanita. Hakikatnya peratus perokok semakin tinggi terutama golongan muda dan wanita. 

Menurut Dr. Aminudin, pemakaian bra yang ketat, pembedahan implan payudara tidak menyebabkan kanser. Bagaimanapun pengambilan pil perancang atau menjalani rawatan kesuburan boleh menyebabkan kanser.

Bagi faktor keturunan, kehadiran gen BRCA1 dan BRCA 2 atau sesiapa yang memiliki gen yang tidak normal, biasanya hanya menyumbang 5-10 peratus daripada kes kanser (peratus yang rendah).