“Tidak ada diabetes dalam keluarga kami!” katanya lagi.

Hassan semestinya mempunyai tanggapan salah bahawa hanya orang dewasa menghidap diabetes.

Sebenarnya kanak-kanak dan remaja tidak terkecuali daripada penyakit ini. Malah, diabetes adalah satu daripada penyakit kronik yang paling biasa semasa kecil dan boleh dihidapi kanak-kanak dalam setiap umur termasuk anak-anak kecil dan bayi.

Pada masa kini dianggarkan lebih sejuta kanak-kanak menghidap diabetes di seluruh dunia dan bilangan mereka terus meningkat pada kadar tiga hingga lima peratus setiap tahun.

DIABETES JENIS 1

Terdapat dua jenis diabetes dalam kalangan kanak-kanak. Diabetes jenis 1 lazim berlaku kepada kanak-kanak berusia antara empat dan 15 tahun.

Beberapa tanda permulaan boleh diperhatikan. Simptom yang dialami Siti adalah tanda tipikal diabetes jenis 1 bagi kanak-kanak. Dia berada dalam keadaan sihat dua minggu lalu, tetapi suatu hari dia mula mengadu sentiasa berasa lapar dan dahaga selain kerap kencing. Malah, beberapa kali Siti terkencing semasa tidur. Ibu bapanya menyatakan bahawa anak mereka kelihatan mudah marah. Walaupun selera makannya baik, tetapi berat badannya menurun dan dia kelihatan letih.

Ibu bapa Siti membawanya ke hospital apabila menyedari anak mereka tidak seperti biasa, sebaliknya kelihatan lesu, lemah dan susah bernafas.

Petanda permulaan diabetes jenis 1 adalah seperti berikut:
1. Dahaga berlebihan
2. Kerap kencing (dengan sukatan banyak)
3. Lapar yang melampau. Kanak-kanak yang lebih muda mungkin mempunyai hilang selera makan.

4. Berat badan menurun (meskipun selera makan baik)
5. Lemah dan keletihan
6. Sakit perut
7. Mudah marah
8. Loya dan muntah
 9. Mempunyai nafas berbau aroma buah-buahan dan bernafas cepat

Semasa dimasukkan ke hospital, glukosa darah Siti didapati sangat tinggi (26.8 mmol/L) dan dia mempunyai keton dalam air kencingnya. Pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa Siti menghidap ketoasidosis diabetik iaitu satu komplikasi serius bagi diabetes jenis 1. Jika tidak dirawat awal dengan berkesan boleh mengakibatkan kematian

PENYEBAB SEBENAR

Walaupun penyebab sebenar diabetes jenis 1 tidak diketahui, adalah dipercayai bahawa bagi kebanyakan kanak-kanak, sistem imun badan mereka menyerang dan memusnahkan sel-sel beta yang menghasilkan insulin dalam pankreas. Proses itu mungkin dicetuskan oleh jangkitan virus (biasa) tertentu. Terlalu awal memberi susu lembu atau bijirin di dalam diet bayi juga boleh meningkatkan risiko. Genetik mungkin memainkan peranan. Oleh itu, keadaan autoimun cenderung berlaku dalam keluarga, tetapi diabetes jenis 1 boleh berlaku tanpa sejarah keluarga (seperti dalam kes Siti).

Insulin penting bagi membawa gula (glukosa) dari peredaran darah ke dalam sel-sel badan untuk digunakan sebagai tenaga. Apabila sel-sel beta dimusnahkan oleh proses autoimun, kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 1 menghasilkan hanya sedikit atau tiada langsung insulin.

Disebabkan kekurangan insulin, glukosa berkumpul di dalam aliran darah kanak-kanak menyebabkan hiperglikemia (paras glukosa darah tinggi). Tahap glukosa darah yang tinggi jika tidak dikawal akan membawa kepada komplikasi akut (contohnya kabur penglihatan, ketoasidosis) dan komplikasi kronik diabetes seperti kerosakan buah pinggang (nefropati), kerosakan saraf (neuropati) dan kerosakan mata (retinopati).

RAWATAN

Disebabkan kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 1 mempunyai hanya sedikit atau tiada langsung insulin, mereka mestilah diberi suntikan insulin setiap hari untuk mengekalkan glukosa darah dalam julat normal (untuk hidup).

Kanak-kanak juga harus diajar mengenai pengambilan makanan yang sesuai (terutama karbohidrat dan gula) dan digalak untuk aktif secara fizikal (dengan melakukan senaman berkala) untuk menjadikan tubuh lebih sensitif terhadap tindakan insulin. Tahap glukosa darah perlu diperiksa secara berkala dengan menggunakan glukometer mudah alih selain memeriksa keton dalam air kencing apabila diperlukan.

Ibu bapa perlu memberi suntikan insulin dan membuat ujian pada mulanya (semasa anak masih kecil) tetapi kanak-kanak mestilah diajar untuk menjaga diri sendiri apabila dewasa kelak. – BERNAMA

  • Penulis ialah Pakar Perubatan Diabetologi, Institut Diabetes Negara (NADI)