Sehubungan itu, penjualan dan pengedarannya diharam­kan di negara ini di bawah Akta Racun 1952 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang membo­lehkan penjual atau pengedar produk berkaitannya dikenakan denda, dipenjara atau kedua-duanya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye ber­kata, kementerian itu kini sedang mengkaji untuk memperkenalkan peraturan baharu bagi me­ngawal aktiviti merokok, vape, e-rokok dan shisa daripada berleluasa di negara ini.

“Sekiranya ada bukti mengenai kebaikan rokok elektronik bagi mendorong perokok tegar untuk berhenti merokok, ia hanya boleh dipreskripsi oleh doktor saja,” katanya baru-baru ini.

Pakar Perunding Respiratori Institut Perubatan Respitori, Prof. Datuk Dr. Abdul Razak Mutallif pula melihat perbezaan antara rokok dan vape dari segi kewujudan tar dalam kedua-dua produk itu yang membahayakan kesihatan.

“Kalau rokok biasa (tembakau) ini ada dua kandungan penting iaitu nikotin dan tar. Sebenarnya yang bahaya itu adalah tar yang menyebabkan kanser paru-paru, kanser buah pinggang, sakit jantung dan sebagainya.

“Bagi nikotin, fungsinya hanya ada satu sahaja iaitu menyebabkan ke­tagihan,” kata­nya yang dipetik dalam satu laporan akhbar.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr. Ravindran R Naidu ketika ditemui Utusan Malaysia berpendapat, kesan vape kurang berbahaya berban­ding rokok biasa untuk perokok tetapi kesan ‘asap’ vape adalah sama berbahaya dengan asap dari rokok biasa kepada bukan perokok.

“Bagaimanapun kajian mengenai vape ini masih baharu untuk menilai kesan buruk atau baiknya dan saintis di United Kingdom dan Amerika Syarikat juga masih berbeza pandangan mengenai perkara tersebut,” katanya.