“Bukan itu sahaja, malah ia boleh menyebabkan persepsi orang lain terhadap diri kita berubah dan dipandang serong sebagai seorang yang tidak bermoral.

HARLINA HALIZAH SIRAJ
HARLINA HALIZAH SIRAJ 

“Jadi, jangan bersikap terlalu terbuka membincangkan apa sahaja tentang hubungan intim.”

Kata-kata sedemikian sudah menjadi perbualan biasa dalam kalangan masyarakat kita yang mempunyai stigma negatif terhadap perbincangan mengenai seks, kesihatan reproduktif dan tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak mengenai hubungan seksual.

Hubungan intim atau seksual antara pasangan suami isteri adalah penting bagi mengekalkan kebahagiaan sesebuah rumah tangga terutama bagi mendapatkan zuriat di samping merancang kehamilan.

Disebabkan soal kesihatan reproduktif masih tabu dalam masyarakat kita, maka sikap itu menyumbang kepada peningkatan pelbagai penyakit dan jangkitan pada organ seksual.

Dalam hal ini, ibu bapa sewajarnya memainkan peranan penting bagi mendidik dan mendedahkan anak-anak mengenai hubungan seks agar mereka faham secara menyeluruh di samping mengurangkan perasaan ingin tahu atau mencuba dalam kalangan generasi baru.

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi merangkap Penyelaras Unit Perancangan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Dr. Harlina Halizah Siraj, ramai pasangan muda kurang sedar tentang kepentingan kesihatan seksual dan reproduktif yang kukuh walaupun telah berkahwin.

Kebanyakan mereka menganggap seks adalah perkara peribadi yang tidak sepatutnya diceritakan secara terbuka ekoran pantang larang dan keaiban yang timbul akibat unsur-unsur sosiobudaya negara ini.

Perkara itu sepatutnya dielakkan kerana perasaan malu untuk membincangkan mengenai hubungan seksual akan menyebabkan generasi masa kini bergantung pada sumber maklumat yang salah.

“Mereka akan banyak bergantung kepada Internet dan menerima maklumat yang tidak benar tentang amalan seks yang baik selain mengakibatkan seks yang tidak memuaskan, perasaan tidak bahagia, pasangan kurang mesra, termasuk kejadian rogol dalam rumah tangga.

“Saya juga terkejut mendapati sesetengah pasangan menganggap memakai kondom adalah bagi mereka yang liar dan bermasalah sedangkan ia sangat digalakkan terutama bagi merancang keluarga,” katanya.

Tambahnya, generasi alaf baharu seharusnya didedahkan dengan teknik-teknik perancangan keluarga iaitu penggunaan pil perancang dan kondom bagi mencegah kehamilan dan penyakit kelamin termasuk HIV.

KAMARUZAMAN ALI
KAMARUZAMAN ALI 

Pada masa sama, ibu bapa digalakkan untuk bercakap mengenai kesihatan seks dengan anak-anak iaitu mereka seharusnya perlu mendapatkan maklumat yang cukup terlebih dahulu.

“Kebiasaannya, anak-anak akan lebih terbuka untuk bercakap mengenai pendidikan seks dengan seseorang yang mereka percaya. Oleh itu, ibu bapa boleh mendapatkan maklumat dengan berjumpa doktor.

“Pendidikan seks penting bagi menangani peningkatan kehamilan tidak terancang dalam kalangan remaja, malah lebih buruk lagi pelbagai penyakit jangkitan kelamin,” katanya.

Dalam pada itu Presiden Kesatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), Datuk Dr. Kamaruzaman Ali berkata, sudah tiba masanya pendidikan seks diterapkan dalam sistem pendidikan negara.

“Pendidikan seks bukan sekadar sentuhan fizikal, sebaliknya menyeluruh melibatkan kesihatan reproduktif semua golongan masyarakat, sama ada yang sudah berkahwin mahupun belum.

“Pendidikan seks juga dapat menghapuskan segala mitos mahupun persepsi negatif masyarakat mengenai alat-alat perancang keluarga seperti pemakaian kondom mahupun pil perancang yang kebanyakannya ditolak oleh masyarakat kerana dikatakan memberikan kesan negatif,” katanya.

Tambahnya, menerusi kajian oleh FRHAM, hanya 35 peratus masyarakat kita menggunakan kaedah saintifik bagi merancang keluarga, malah kebanyakan mereka masih mempercayai kaedah-kaedah tradisional yang belum terbukti berkesan secara saintifik.

Menurutnya, perkara itu terjadi disebabkan pasangan muda kini lebih gemar bertanya kepada rakan-rakan atau mendapatkan maklumat daripada enjin carian ‘Google’.

“Jangan guna jalan singkat untuk mendapat maklumat mengenai kesihatan seksual.

“Terus berjumpa doktor bagi bertanyakan sesuatu perkara kerana ilmu pengetahuan kesihatan reproduktif yang kukuh membolehkan pasangan berkahwin menambah ahli keluarga tanpa menjejaskan kesihatan ibu dan anak.

“Jelaslah bahawa panduan yang relevan dan praktikal tentang kesihatan seksual dan reproduktif perlu disediakan untuk suami isteri bagi membantu mereka membuat pilihan bijak sama ada untuk diri sendiri, pasangan atau masa depan keluarga,” katanya.