Banyak penyelidikan dan pengumpulan maklumat telah dibuat mengenai impak psikologi tentang masalah rambut yang secara konsisten dan berterusan menyatakan bahawa lebih 70 peratus lelaki dan wanita mengakui rambut berperanan besar dalam penilaian keseluruhan imej diri seseorang. Sebanyak 60 peratus pula merasakan rambut mempengaruhi keyakinan diri seseorang. Kehilangan rambut sesuatu yang berat untuk ditangani khususnya oleh individu yang berhadapan dengan masalah itu.

APAKAH PUNCA ASAS MASALAH KEHILANGAN RAMBUT LELAKI? 

Androgenic alopecia (male pattern hair loss) merangkumi 90 peratus lelaki yang berpunca daripada faktor keturunan dan ia tetap berlaku jika androgen (hormon lelaki) seseorang itu mencukupi dan berada pada tahap normal. Faktor genetik seperti ini boleh diwarisi daripada ibu atau bapa seseorang. Umur, kadar kehilangan rambut dan tahap-tahapnya juga tidak dapat diramalkan. Bagaimanapun, secara umum kadarnya meningkat selaras dengan umur dan apabila kehilangan rambut bermula, ia akan berterusan dan cepat.

APAKAH JENIS RAWATAN BAGI MENCEGAH MASALAH RAMBUT ?

Kebanyakan rawatan tradisional atau natural di pasaran memberi kesan yang tidak menentu dan tidak menjamin hasil atau kesan yang positif. Yang pasti, keberkesanan rawatan semula jadi atau rawatan yang tidak berunsur perubatan jarang membuahkan hasil diingini. Oleh itu, cara terbaik adalah dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor atau pakar dermatologi diiktiraf supaya rawatan yang terbukti berkesan dapat dilakukan menerusi ubat-ubatan, platelet rich plasma (PRP), mesotherapy atau penanaman semula rambut (direct hair implantation).

APAKAH PENANAMAN SEMULA RAMBUT (DIRECT HAIR IMPLANTATION-DHI)?

Penanaman semula rambut (DHI) telah melalui transformasi yang ketara dan telah memberikan hasil terbaik setelah bertahun-tahun diamalkan oleh pakar-pakar perubatan. Di peringkat awal, teknik penanaman rambut dipanggil strip harvesting iaitu doktor bedah akan mengambil sebahagian kulit rambut pesakit. Cara ini meninggalkan kesan parut dan hasil pembedahan juga tidak terjamin serta tidak kelihatan asli.

Terbaharu, terdapat rawatan terkini yang dipanggil DHI. Boleh didapati di pasaran dan menjanjikan hasil lebih baik. Rawatan DHI dilakukan dengan cara memindahkan satu persatu anak rambut ke kawasan kepala yang botak supaya rambut boleh tumbuh secara semula jadi.

Setiap satu anak rambut ini dipindahkan menggunakan alat pembedahan dan ditanam semula dengan kadar kedalaman serta arah yang setara di atas permukaan kulit. Teknik ini tidak meninggalkan parut dan rambut yang dipindahkan akan tumbuh secara semula jadi. Prosedur ini juga tidak menyakitkan (dengan bantuan ubat bius) dan sembuh dengan cepat.

Rambut akan tumbuh dengan ketara dalam masa dua bulan dan penumbuhan penuh berlaku dalam masa lapan hingga sembilan bulan berikutnya. Ini juga akan membolehkan pengawalan penumbuhan semula rambut. Hasilnya rambut tumbuh secara semula jadi dan kelebatan rambut juga adalah lebih baik.

Dengan penjagaan susulan yang baik, rambut yang ditanam semula akan kekal tumbuh seperti rambut asli. Sungguhpun begitu, 10 hari pertama selepas prosedur ini rambut mungkin akan gugur kerana melalui fasa shock loss iaitu pengejutan selepas dipindahkan namun jumlahnya amat sedikit. Secara umumnya rambut baharu akan tumbuh berterusan, lebih lebat, tebal dan kukuh sepanjang enam hingga sembilan bulan berikutnya.

Ramai pesakit yang akan memilih cara rawatan ubat-ubatan untuk membantu mengekalkan kelebatan rambut yang ditanam dan melambatkan proses keguguran rambut untuk bahagian atau rambut yang tidak ditanam.

Berkenaan pemilihan khidmat tanam rambut atau DHI ini, beberapa kriteria perlu diambil kira iaitu kemampuan kewangan seseorang, masa rawatan, keberhasilan rawatan dan kadar masa penyembuhan. Paling penting adalah hasilnya yang kekal dan terjamin.

Sudah tentu pemilihan kaedah ini bergantung kepada pertimbangan pesakit sendiri yang tahu hasil yang diingininya dan telah memikirkan perkara tersebut dengan baik. Ramai yang memilih untuk mendapatkan khidmat DHI dan berjaya mengembalikan rambut mereka seperti sebelumnya.