Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, spesies itu dikatakan bukan sahaja mujarab dalam merawat penyakit kanser, malah didapati tidak menimbulkan ketagihan terhadap individu yang mengambilnya sebagaimana ganja biasa.

Katanya, beliau telah berjaya mengumpulkan maklumat lengkap mengenai tumbuhan tersebut termasuk teknologi berkaitan dengannya, namun perkara itu setakat ini belum dipanjangkan kepada Kementerian Kesihatan.

“Saya bersedia membentangkan maklumat dan teknologi berkenaan kepada mana-mana pihak yang sanggup buat kajian.

“Bagaimanapun, ia dijangka memakan sedikit masa untuk pihak berwajib menerimanya, membuat kajian lanjut dan seterusnya memajukan perkara ini tanpa syak wasangka,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, Husam yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri melawat Ketua 1 Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Husdaini Mamat yang menghidap kanser pangkal hidung di kediaman lelaki itu di Panchor, di sini.

Baru-baru ini, kerajaan Thailand memutuskan untuk membenarkan penggunaan ganja secara sah di sisi undang-undang bagi tujuan perubatan dan penyelidikan di negara itu, sekali gus muncul selaku negara pertama di rantau ASEAN yang berbuat demikian.

Susulan itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye semalam dilaporkan berkata, syarikat farmasi perlu membuat kajian sendiri sekiranya berhasrat untuk membawa masuk ubat-ubatan yang mengandungi dadah, termasuk ganja ke negara ini.

Menurut beliau, walaupun banyak kajian berkaitan ganja telah dilakukan di luar negara, hasil kajian terbabit tidak boleh diguna pakai di negara ini kerana ia mungkin berbeza-beza mengikut kesesuaian di tempat masing-masing.

Mengulas lanjut, Husam mengakui ganja yang baik untuk kesihatan tetapi menimbulkan ketagihan sedikit sebanyak berpotensi menimbulkan ancaman keselamatan sekiranya dibiarkan ditanam dan digunakan secara bebas di negara ini.

“Sebagaimana saya sebut, spesies saya ceritakan ini tidak menimbulkan ketagihan dan secara semula jadi mampu memberi kesihatan lebih baik kepada manusia,” katanya. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan spesies ganja yang dimaksudkan itu. - UTUSAN ONLINE