Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata,  kerajaan negeri memberi mandat kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menyediakan modul khusus selain membabitkan kerjasama banyak pihak termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Menurut beliau,  UniSZA khususnya Fakulti Perubatan memiliki kepakaran dalam usaha setelah menjalankan kajian selama lima  tahun selain menyiapkan 11 buah buku modul berkaitan.

"Modul yang dipraktikkan di Pusat Komuniti Saadah (PKS) kendalian UniSZA di daerah Kuala Nerus ketika ini akan diperluaskan dan kita akan guna pakai untuk pusat pemulihan secara holistik nanti,"ujarnya tanpa menjelaskan mengapa usaha itu mengambil masa agak panjang.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan persidangan antarabangsa mengenai pemulihan dadah di Kampus Fakulti Perubatan UniSZA di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pusat Penyelidikan dan Rawatan Ketagihan (CentRenA) UniSZA, Prof. Dr. Nasir Mohamad.

Katanya, pusat yang pertama seumpama itu di negara ini akan dibangunkan di satu kawasan perkampungan khusus yang jauh daripada kediaman penduduk namun pihaknya masih meneliti lokasi paling sesuai dan strategik.

Mohd. Nor seterusnya menjelaskan kelebihan pusat pemulihan itu nanti antaranya merangkumi kaedah rawatan Islam, psikospritual, kemudahan klinik  selain program Terapi Gantian Metadom di samping penyediaan peluang pekerjaan kepada pelatih.

Katanya buat permulaan, seramai 50 penagih akan ditempatkan di pusat pemulihan berkonsepkan perkampungan secara terbuka dan sukarela, dengan kaedah rawatan bersepadu itu sekiranya berjaya bakal menjadi model pemulihan yang pertama di dunia.-UTUSAN ONLINE