“Saya sentiasa menggunakan ubat pelincir sewaktu melakukan hubungan seksual”.

“Kahwin dah hampir setahun lebih, tetapi masih belum memperoleh cahaya mata”.

“Saya gemar melakukan hubungan seksual kurang daripada 24 jam”.

Itu antara luahan si suami dan rata-ratanya tidak mahu berkongsi masalah tersebut dengan orang lain.

Menurut pakar perunding kesuburan Metro IVF Klang, Selangor, Dr. Tee Swi Peng, ramai dalam kalangan pasangan yang mendirikan rumah tangga pada usia 35 tahun ke atas seringkali berhadapan dengan masalah sebegini.

“Biarpun impian memperoleh cahaya mata dalam masa terdekat tidak kesampaian tetapi, masih ada jalan penyelesaian untuk mereka berusaha mendapatkan cahaya mata, hasil perkongsian dan berkat kesabaran mereka selama ini,” ujarnya.

Pasangan suami isteri dikatakan mengalami masalah kesuburan apabila masih tidak memperoleh zuriat dalam tempoh 12 bulan melakukan hubungan kelamin tanpa perlindungan (selepas setahun berkahwin), manakala enam bulan bagi isteri berusia bawah 35 tahun.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Persatuan Ubatan Reproduktif Amerika (ASRM) dan Kolej Perbidanan dan Ginekologi Amerika (ACOG) juga mengenal pasti ketidaksuburan sebagai satu penyakit akibat sistem pembiakan lelaki dan wanita yang tidak berfungsi dengan normal. Di­anggarkan ketidaksuburan ini berlaku kepada satu pasangan bagi setiap tujuh pasangan suami isteri.

Oleh itu, masalah terbabit adalah perkara biasa yang sering dihadapi pasangan berusia antara 20 hingga 45 tahun. Malah, peluang seseorang wanita cuba untuk mengandung tanpa rawatan sewajarnya adalah rendah.

Sebanyak 85 peratus pasangan dengan tahap kesuburan normal akan memperoleh zuriat dalam tempoh setahun mencuba (usia wanita bawah 40 tahun).

Jika mereka tidak memperoleh zuriat dalam tempoh berkenaan (tahun pertama perkahwinan), peluang mendapat anak semakin rendah setiap bulan dan semakin tipis seiring dengan peningkatan usia isteri.

Bagi mendapatkan zuriat, ovum atau telur perlu disenyawakan dengan sperma dan ovum itu dilepaskan dari ovari dalam tempoh kesuburan yang berlaku sekali dalam sebulan iaitu antara 12 hingga 16 hari dari hari terakhir datang haid jika kitaran haid wanita berkenaan normal antara 28 hingga 30 hari.

Kini, masalah ketidaksuburan bukan sahaja menghantui golongan wanita, malah kaum lelaki turut sama mengalaminya. Bagaimanakah berlaku dan apakah kesannya terhadap penghasilan sperma?

Dr. Swi Peng menjelaskan, golongan suami yang mendapati dirinya berhadapan dengan masalah kesuburan haruslah mendapatkan rawatan dan khidmat nasihat dengan secepat mungkin daripada pakar bidang berkenaan.

“Buangkan rasa malu untuk berjumpa doktor, ia sebahagian daripada penyelamat dalam membina sebuah perhubungan yang intim dan berkekalan”, ujarnya.