Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor, Dr. Sharuddin Jamal berkata, remaja perempuan berusia 14 tahun itu dilaporkan stabil dan menunjukkan tanda positif.

“Kes difteria sehingga minggu lalu (2 Mac), tiada lagi kes terbaharu dikesan dan setakat ini seorang sahaja mangsa masih menerima rawatan di hospital.

“Kelima-lima mangsa yang dikesan dijangkiti difteria (sebelum ini) dalam keadaan stabil, bukan sakit teruk dan apabila menerima rawatan mereka kembali pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Hari Bertemu Pelanggan Jabatan dan Agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani termasuk Portfolio Pertanian Negeri Johor di sini sebantar tadi.

Kementerian Kesihatan kelmarin melaporkan tiga lagi kes difteria berlaku di negeri ini masing-masing melibatkan seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia empat tahun serta

seorang remaja perempuan 14 tahun.

Mengulas lanjut, Dr. Sahruddin berkata, dua kanak-kanak daripada tiga kes yang dilaporkan sebelum ini, dibenarkan pulang setelah kesihatan mereka kembali stabil dan disahkan bebas daripada difteria.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak pengusaha pusat jagaan kanak-kanak dinasihatkan agar memastikan kanak-kanak yang ingin dijaga memiliki rekod imunisasi.

“Sekiranya mereka mendapati ada kanak-kanak yang dikesan tidak diimunisasi segera menasihati ibu bapa atau melaporkan kepada pihak kita agar langkah pencegahan awal didapat

diambil,” katanya.- UTUSAN ONLINE