Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, empat kanak-kanak lain masih ditempatkan di wad berkenaan dan keadaan kesemua mereka dilaporkan stabil.

“Seorang Kanak-kanak dibenarkan pulang hari ini, bagaimanapun dia masih di dalam pemantauan dalam tempoh dua minggu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, Dr. Sahruddin selepas melawat wad pengasingan HSA itu memaklumkan, seramai lima kanak-kanak masing-masing tiga perempuan dan dua lelaki berusia empat tahun ke bawah di masukkan ke wad itu kerana positif difteria.

Menurutnya, seorang daripada mereka merupakan kakak kepada kanak-kanak lelaki berusia dua tahun sebulan yang meninggal dunia disyaki akibat difteria di sini pada 21 Februari lalu.

Katanya, kanak-kanak itu merupakan antara 52 individu yang mempunyai kontak dengan mangsa, telah menjalani ujian saringan difteria dan kehadiran Corynebacterium Diphteria dikesan pada sampel calitan tekak mereka.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Sahruddin menafikan mesej tular dalam laman sosial yang menasihati ibu bapa supaya mengelak membawa anak-anak mereka di sekitar Mutiara Rini di sini kononnya terdapat jangkitan difteria di situ.

“Saya ingin memberitahu masyarakat bahawa isu (mesej) yang tular itu tidak benar dan saya berharap masyarakat jangan mudah menularkan sesuatu isu yang tidak pasti kebenarannya,” katanya. - UTUSAN ONLINE