Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 51.8 peratus daripada rakyat Malaysia telah dikategorikan sebagai obes dan berlebihan berat badan.

Bagi menangani masalah ini dengan efektif, aspek yang paling penting adalah mengenal pasti punca sebenarnya. Penyebab obesiti adalah ketidakseimbangan tenaga, iaitu antara jumlah kalori yang diambil dan kalori yang dibakar pada satu hari.

Umum mengetahui bahawa setiap makanan yang diambil sememangnya membekalkan tenaga kepada tubuh badan, namun sasaran akhir-akhir ini lebih ke arah gula.

Ini termasuk langkah yang disifatkan sesetengah pihak dibuat tidak berdasarkan bukti sains, iaitu dengan mengenakan cukai soda, yakni cukai ke atas minuman yang mengandungi gula.

Mereka mempersoal mengapa menyasarkan penggunaan gula sedangkan ia bukan termasuk dalam 10 senarai teratas produk makanan yang diambil oleh rakyat Malaysia?

Malah, data daripada Kajian Nutrisi Dewasa Malaysia 2014 mendapati bahawa makanan yang paling banyak diambil oleh rakyat Malaysia ialah nasi iaitu 297.9 gram sehari berbanding gula 25.5 gram sehari.

Pengambilan gula mengikut garis panduan yang disarankan oleh WHO adalah tidak melebihi 10 peratus kalori dalam sehari.

Hal ini turut dikukuhkan dengan kenyataan melalui laporan yang dikeluarkan oleh Kumpulan Kerja Teknikal bagi Garis Panduan Pemakanan, Kementerian Kesihatan, bahawa pengambilan nutrisi dalam sehari yang disarankan untuk lelaki dewasa berumur 18-29 tahun adalah 2,240 kalori.

Oleh itu, jumlah maksimum gula yang digunakan tidak boleh melebihi 224 kalori yang bersamaan dengan 56 gram sehari.

Jadi, bagaimana cukai ke atas gula boleh menyelesaikan masalah obesiti di negara ini apabila ia hanya menyumbang 102 kalori sehari? Bagaimana cukai soda yang hanya menyumbang kecil kalori iaitu purata 30 kalori setiap orang sehari menyelesaikan masalah tersebut di Malaysia?

Secara umumnya, kita boleh mengatakan pihak berkuasa kesihatan mungkin gagal untuk mengekang obesiti dalam masyarakat.

Ini kerana pada 1996 hanya 4.4 peratus rakyat obes, tetapi kesan daripada peningkatan kemakmuran dan pembangunan ekonomi telah merubah tabiat pemakanan yang tidak sihat, sehingga berlaku keadaan seperti hari ini.

Sebenarnya, kita mungkin boleh mengambil contoh negara jiran, Singapura, yang kerajaannya telah berada selangkah ke hadapan melalui program pelabelan makanan positif iaitu Simbol Pilihan Sihat, yang diperkenal sejak 1998.

Mereka juga menyediakan perbelanjaan yang besar bagi mendidik pengguna dengan kempen-kempen kesedaran sehingga rakyatnya menjadi aktif dalam mendapatkan produk makanan yang sihat.

Kerjasama dengan syarikat pengeluar makanan, saintis serta pakar nutrisi turut diadakan selain dari membiayai penyelidikan dan mewujudkan persekitaran yang menyokong inovasi dalam bidang teknologi yang mampu mengeluarkan produk yang sihat.

Berbanding, negara kita baru sahaja melancarkan program sebegini tahun lepas.

Cukai ke atas minuman hanya salah satu daripada banyak polisi yang mungkin boleh diambil dalam menangani obesiti, biarpun kajian oleh Institut Global McKinsey pada 2014 mendapati bahawa kesan cukai seumpama itu tidak sebegitu ketara berbanding jika mengambil dua langkah utama, iaitu mengawal jumlah dan menyusun semula formula pengambilan makanan, yang nyata jauh lebih berkesan dalam menyelamatkan nyawa di United Kingdom.

Pada 2017, Institut Penyelidikan Ekonomi New Zealand (NZIER) pula, telah ditugaskan oleh Kementerian Kesihatan negara itu untuk menilai bukti bahawa cukai ke atas gula sebagai instrumen fiskal untuk meningkatkan tahap kesihatan.

Selepas meneliti 47 kajian dan kertas kerja yang disiarkan dalam tempoh lima tahun, NZIER membuat kesimpulan bukti bahawa cukai ke atas gula meningkatkan tahap kesihatan adalah lemah.