Begitupun, adalah lebih baik untuk mengelakkan daripada termakan cacing berkenaan terutama pada kanak-kanak, yang lazimnya sukar diketahui tentang tindak balas alahan yang bakal mereka hadapi, selain keadaan sistem imun mereka yang masih belum berkembang dengan sempurna.

Hakikatnya, kewujudan cacing di dalam daging, buah-buahan dan sayur-sayuran bukanlah sesuatu yang pelik, namun baru-baru ini tular dalam laman media sosial tentang cacing yang terdapat pada ikan sardin di dalam tin.

Ramai orang mula risau dan tidak selamat, malah ada juga yang mula berasa loya apabila melihat gambar yang tersebar luas itu sehingga segelintir ibu bapa tidak lagi membenarkan anak-anak menikmati ikan sardin dalam tin.

Menjawab kerisauan masyarakat, Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi dan Entamologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anisah Nordin berkata, produk ikan sardin dalam tin yang mengandungi cacing memberi risiko yang rendah kepada kesihatan pengguna.

Ini kerana cacing tersebut telah mati ketika proses pengetinan produk itu sendiri.

Ujarnya, dalam kes cacing di dalam sardin, ia melibatkan cacing jenis Anisakis spp. yang boleh ditemui di dalam ikan laut seperti salmon, tenggiri, kembung dan sardin, serta sotong.

Ini kerana haiwan-haiwan laut ini adalah perumah semula jadi dalam kitar hidup cacing tersebut di dalam persekitarannya.

“Ketika tular tentang cacing di dalam sardin baru-baru ini, ramai yang mengambil keputusan untuk tidak makan sardin di dalam tin kerana berasa geli atau kotor.

"Namun perlu diketahui, cacing yang terdapat pada ikan itu juga boleh ditemui di dalam ikan laut biasa yang hidup dan belum diproses seperti sardin di dalam tin.

“Ini bermakna tidak semestinya sardin di dalam tin jenama yang terlibat itu sahaja yang berisiko mempunyai cacing, bahkan cacing ini juga boleh didapati pada ikan dan makanan laut lain yang terlibat dalam kitar hidupnya di dalam laut,” jelasnya.

Ujar Dr. Anisah, sebaiknya selepas membeli ikan laut, buang organ dalaman seperti isi perut ikan dan dibersihkan dengan kadar segera sebelum disimpan di dalam peti sejuk beku, bagi membunuh dan mengelakkan cacing tersebut bergerak dan mencemari daging ikan.

Piawaian Agensi Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) mengesyorkan, semua jenis makanan laut yang akan dimakan secara mentah perlu disejukbekukan terlebih dahulu pada suhu serendah -35 darjah Celsius selama 15 jam atau dimasak menggunakan suhu melebihi 60 darjah Celsius.

Kedua-dua cara ini boleh membunuh cacing berkenaan yang terdapat di dalam ikan dan mengurangkan risiko termakan cacing yang masih hidup.

Walaupun begitu, cacing yang telah mati masih boleh merembeskan sejenis bahan yang bersifat alergen, tetapi dalam kadar yang sedikit berbanding dengan cacing yang masih hidup.

Bagi mereka yang sensitif terhadap alergen tersebut, gejala penyakit yang dinamakan Anisakiasis alahan akan mula dilihat seawal 60 minit, bergantung kepada tindak balas sistem imun individu, selepas termakan makanan tersebut.

“Gejala alahan yang ditunjukkan adalah sama seperti gejala alahan terhadap makanan dari sumber lain.

Antaranya, gatal-gatal, mata merah, ruam, bengkak dan susah bernafas, sehingga berlakunya gejala yang teruk dan sangat membahayakan seperti kejutan anafilaksis, yang berisiko menyebabkan kematian terutama pada kanak-kanak dan penderita atopi yang mengikut kajian merupakan golongan yang paling kerap mengalami alahan makanan ” jelasnya.

Justeru, dalam mengawal kejadian terkena alahan akibat cacing Anisakis, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat pemakanan yang betul dan memastikan ikan tersebut perlu dimasak serta dibersihkan dengan baik.

“Ada baiknya anak-anak makan di rumah, jadi ibu dapat memastikan makanan yang disediakan selamat dan bersih.

"Dalam konteks kehadiran cacing ini di dalam sardin seperti yang dilaporkan, kebanyakan pakar berpendapat risiko untuk mendapat jangkitan dan terjadinya penyakit adalah rendah.

“Ini kerana proses penghasilan sardin di dalam tin itu sendiri melibatkan suhu dan tekanan yang tinggi yang boleh membunuh cacing tersebut.

"Akan tetapi, sebagai langkah pencegahan, kita boleh memeriksa sama ada terdapat cacing di dalam produk sardin tersebut. Sekiranya ada, kita boleh memilih sama ada untuk tidak memakan terus produk tersebut atau membuang sahaja cacing berkenaan dan memasak kembali ikan itu dengan betul," katanya.