IKMAL ZAIDI HASHIM
IKMAL ZAIDI HASHIM

Ketua Lajnah Pe­ngurusan Akademik Darussyifa Malaysia, Ikmal Zaidi Hashim berkata, sehingga ki­ni pihaknya seolah-olah hanya boleh merawat pesakit secara 'sembunyi-sembunyi' sedangkan ke­hadiran mereka di hospital adalah untuk melengkapkan usaha penyembuhan.

Beliau berkata, keadaan ini mengecewakan kerana amalan perubatan Islam sebenarnya sudah diiktiraf sebagai sebahagian daripada Perubatan Tradisional dan Kontemporari (PT&K) sama seperti perubatan tradisional Melayu, Cina dan India dan dika­walselia di bawah Akta PT&K 2016 (Akta 775).

“Selama ini kita memang terlibat dengan perubatan moden di hospital tetapi kita pergi secara ad-hoc atas permintaan pesakit dan keluarga dalam keadaan ‘sembunyi-sembunyi’.

“Apabila ada Akta 775 sepatutnya pengamal ruqyah diberi ruang untuk beramal secara profesional di premis Kementerian Ke­sihatan di seluruh negara, maknanya kita masuk sebagai pengamal yang diiktiraf.

“Sekarang sudah ada 15 hospital seluruh negara yang mempunyai perkhidmatan PT&K tetapi malangnya kita tidak diajak untuk turut serta dalam sistem yang ada,” katanya selepas menyampaikan pembentangan bertajuk Peranan Ruqyah Merawat Penya­kit dalam Seminar Perubatan Integratif 2018 ‘Ke Arah Kelestarian Kesihatan’ di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Seminar julung kali anjuran Unit Perubatan Integratif dan Unit Per­kembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM itu dihadiri 350 peserta terdiri daripada ahli akademik, pengamal perubatan moden dan tradisional serta orang awam.

Sementara itu, Ikmal Zaidi berkata, perkara tersebut turut diutarakan banyak pihak lain tetapi disebabkan tiada penegasan daripada pembuat dasar mungkin antara faktor menyebabkan hospital tidak berani memberi peluang secara ‘rasmi’ kepada pengamal perubatan Islam.

Beliau berkata, pihak Darussyifa sendiri mempunyai lebih 10,000 pengamal perubatan Islam di seluruh negara yang sentiasa bersedia membantu masyarakat

“Pengamal perubatan Islam bukan sahaja boleh dan mahu memberi khidmat kepada pesakit beragama Islam tetapi juga kepada yang bukan beragama Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Bersama seminar, Prof. Dr. Nik Hazlina Nik Hussain berkata, objektif program adalah untuk berkongsi ilmu mengenai konsep asas penjagaan kesihatan menggunakan kaedah perawatan integratif dan cara mempraktikkannya.