JAWAPAN

Saya tidak pasti umur Puan serta berapa lamakah Puan telah mendirikan perkahwinan dan saya membuat andaian bahawa Puan mempunyai kitaran haid yang tetap. Pengambilan pil clomid sebagai langkah untuk menimang cahaya mata, boleh diambil pada hari kedua semasa haid, tetapi perlu diingatkan pengambilan clomid tanpa nasihat yang wajar daripada doktor adalah sesuatu yang mungkin boleh memudaratkan.

Clomid mampu menghalang kesan hormon estrogen dalam badan untuk meningkatkan penghasilan dua hormon lain yang penting untuk ovulasi. Hormon-hormon ini adalah hormon perangsang folikel (follicle stimulating hormone - (FSH) dan hormon luteinising (LH).

FSH menyebabkan telur dalam ovari matang bersedia untuk dibebaskan. LH pula mencetuskan pembebasan satu atau lebih telur matang daripada folikel ovari. Telur atau telur-telur ini kemudian bergerak turun ke dalam salah satu saluran tiub fallopio.

Namun, jika Puan mempunyai kitaran haid yang tidak teratur, Puan mungkin memerlukan ubatan sintetik hormon progesteron untuk membantu menetapkan kitaran reproduktif. Pakar kesuburan akan memantau sama ada folikel di dalam ovari telah matang untuk membebaskan telur ke dalam tiub fallopio Puan kerana ovulasi umumnya berlaku di antara lima dan sembilan hari selepas pengambilan pil clomid yang terakhir.

Ada juga wanita tidak mempunyai sebarang tindak balas terhadap clomid. Seandainya, Puan tidak mengalami ovulasi setelah pengambilan clomid untuk dos yang rendah, doktor pakar mungkin menaikkan dos daripada 100mg hingga 150mg setelah melalui pemantauan sebanyak tiga kitaran.

Alternatif reproduktif yang lain termasuklah Permanian Berhadas (Intrauterine Insemination - IUI) dan juga kaedah bayi tabung uji (In Vitro Fertilisation -IVF). IUI adalah rawatan kesuburan yang melibatkan bantuan untuk meningkatkan sperma yang dapat mencapai tiub fallopio dan seterusnya meningkatkan peluang persenyawaan.

IVF pula adalah proses di mana telur dikeluarkan daripada ovari dan digabungkan dengan sperma dalam kultur makmal. Kedua-dua rawatan tersebut adalah seliaan pakar kesuburan.