Antara bentuk risiko yang bakal pesakit hadapi menerusi pembedahan yang akan dilakukan pada bahagian otak ialah sama ada mereka akan menjadi lumpuh, pembedahan itu tidak akan berjaya, pesakit akan koma mahupun mendatangkan kematian.

Menerusi teknologi tinggi yang moden semakin canggih dari sehari ke sehari, kini pesakit yang menderita berhadapan dengan ketumbuhan pada bahagian otak boleh melakukan prosedur pembedahan tanpa penggunaan pisau atau luka menerusi kaedah Gamma Knife.

Menurut Pakar Bedah Neuro, Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Jagdeep Singh Nanra, apabila bercakap mengenai Gamma Knife (Pisau Gamma) bukan bermakna pembedahan itu dilakukan dengan pisau, tetapi menerusi kaedah sinaran gamma yang sangat tepat dipancarkan kepada tumor yang berada pada bahagian otak yang mahu dilupuskan itu.

Cara kaedah ini berkait rapat dengan teknologi pembedahan radio.

Beliau berkata, sebelum prosedur dilakukan, pesakit itu perlu tahu sama ada tumor yang dihidapi itu adakah sejenis kanser atau ketumbuhan biasa bukan kanser, pada bahagian manakah terletaknya dan saiz tumor berkenaan.

“Tumor yang merupakan kanser boleh jadi datang dari bahagian badan lain seperti hati dan payudara pesakit yang bermasalah barah dan kemudian merebak ke otak, manakala ketumbuhan yang bukan kanser ialah tumor yang ditakdirkan berada di dalam otak, tetapi bukan kanser, hanya berada di satu lokasi tertentu dan tidak merebak, cuma mungkin saiznya boleh membesar.

“Tumor yang bukan kanser apabila berada pada bahagian saraf tertentu seperti contoh saraf mata, dia akan menyebabkan pesakit mengalami masalah dengan penglihatan, begitu juga sekiranya berada pada bahagian saraf berhampiran telinga juga akan mengganggu pendengaran,” jelas beliau

Menurut Dr. Jagdeep Singh, sebelum proses Gamma Knife pesakit akan diimbas menerusi mesin MRI (Magnetic Resonance Imaging) untuk menentukan tahap ketumbuhan, saiz ketumbuhan, di manakah letaknya dan sama ada tumor itu merupakan kanser atau tidak.

Seterusnya doktor akan memberitahu pesakit prosedur seterusnya yang bakal dilakukan termasuk sama ada pesakit akan terlebih dahulu melalui pembedahan membuang tumor yang merupakan kanser ataupun saiz tumor yang terlalu besar.

Setelah prosedur pembedahan dilakukan, barulah saki-baki tumor itu akan dihapuskan atau dikecilkan saiznya menerusi kaedah Gamma Knife. Tetapi sekiranya tumor berkenaan adalah ketumbuhan biasa dan jika boleh dibuang atau dikecilkan saiznya menerusi prosedur Gamma Knife, pihak doktor akan melakukan kaedah itu secepat mungkin tanpa perlu melakukan proses pembedahan.

Kata beliau lagi, pancaran sinaran Gamma Knife, adalah sangat tepat, boleh dilakukan berulang kali tanpa ada kesan sampingan lain, kaedah ini juga lebih selamat, tiada risiko trauma dan kesakitan atau pendarahan dan tidak membabitkan kos yang tinggi.

Selalunya, selepas pembedahan pembuangan ketumbuhan yang merupakan kanser pada bahagian otak, kemoterapi tidak boleh dilakukan, tetapi pancaran sinaran Gamma Knife boleh membantu menghapuskan saki baki kanser yang ada dengan tepat biarpun pada bahagian yang sukar untuk ditembusi oleh pisau bedah.

“Apa yang penting, teknik ini tidak akan mengganggu sel-sel lain yang normal berbanding dengan rawatan kemoterapi atau radioterapi kerana sinarannya akan tertumpu hanya pada sel kanser sahaja.

“Sekiranya tumor di dalam otak terlalu besar ataupun tekanan di dalam otak terlalu tinggi, pihak doktor tidak boleh terus membuat kaedah Gamma Knife, tetapi perlu didahului dengan pembedahan dan bakinya baharu dilupuskan dengan teknik tersebut.

“Jika dahulu sekiranya ada ketumbuhan kecil pun di dalam otak kita membuat prosedur pembedahan, tetapi melalui keaedah tersebut, pesakit kini tidak melalui prosedur pembedahan pun. Risiko pembedahan biasanya dikaitkan dengan jangkitan kuman, angin ahmar, sawan, koma, kematian dan sebagainya.

“Prosedur hanya memerlukan sehari, pesakit yang sudah dibius dan dipakaikan sejenis bingkai di kepala akan menjalani kaedah ini dengan dimasukkan ke dalam mesin Gamma Knife (seperti MRI) selama lebih kurang 20 minit bergantung saiz dan kesukaran tumor yang ingin dilupuskan, pesakit tidak akan merasakan sebarang kesakitan, tiada pendarahan luka dan taruma.

Apabila pesakit sedar mereka akan terus balik ke rumah seperti biasa. “Prosedur rawatan ini dilakukan di bilik sebelah menerusi panel yang dijalankan melalui komputer oleh pakar,” jelas beliau.