Gusi berdarah boleh disebabkan oleh dua faktor utama. Pertama, disebabkan oleh penyakit gusi atau penyakit sistemik yang menyebabkan pembengkakkan gusi. Keduanya trauma pada gusi itu sendiri.

Saya suka menekankan faktor yang pertama iaitu penyakit gusi dinamakan gingivitis iaitu jangkitan kuman pada gusi dan periodontitis (jangkitan kuman yang telah merebak kepada tulang pemegang gigi). Lazimnya jangkitan kuman akan menyebabkan berlakunya inflamasi yang dikenal pasti dengan empat tanda iaitu calor (panas), dolor (sakit), rubor (merah) dan tumor (bengkak). Di sini saya berkongsi beberapa patah medical jargon atau bahasa perubatan . Gusi yang terinflamasi akan senang berdarah apabila disentuh malah akan berdarah secara spontan apabila gingivitis menjadi lebih parah.

Jangkitan kuman pada gusi lazimnya disebabkan pengumpulan plak pada gigi dan bakteria di plak tersebut akan mengundang inflamasi kepada gusi berdekatan. Gingivitis tidak memberikan rasa sakit kepada pesakit, sebaliknya pesakit tidak akan sedar bila dia mengalami gingivitis hinggalah gusinya berdarah.

Gigi berlubang juga boleh menyebabkan pengumpulan plak yang banyak pada permukaan gigi. Gigi yang berlubang akan menyebabkan makanan berkumpul dan tersumbat di dalam lubang tersebut. Lebih parah lagi jika melibatkan lubang kelas dua dan kelas lima yang berhampiran dengan gusi. Makanan yang terkumpul akan mengurai dan menghasilkan bau busuk manakala bakteria dalam plak akan bekerja lebih masa menyebabkan gingivitis berlaku dengan cepat sekali. Jika anda dapati gusi bengkak secara solitari ataupun di celah-celah gigi, pergilah berjumpa doktor gigi anda untuk pemeriksaan lengkap kerana dikhuatiri ada gigi yang berlubang tanpa disedari.

Tampalan gigi juga perlu dilakukan dengan sempurna. Jika tampalan gigi pecah atau retak, ia boleh menjadi tempat pengumpulan plak. Tampalan di permukaan tepi gigi yang terlebih juga boleh memerangkap plak. Tidak terkecuali tampalan yang berada di bawah permukaan gusi lebih-lebih lagi jika tampalan itu tidak licin. Keadaan ini boleh menyebabkan plak terkumpul.

Gigi yang berlapis juga cenderung menjadi tempat pengumpulan plak kerana berus gigi dan flos mungkin sukar membersihkan plak pada permukaan gigi dengan baik. Plak yang bertimbun pada gigi bukan saja boleh menyebabkan gusi berdarah bahkan boleh menyebabkan gusi menyusut dan gigi bergoyang akibat periodontitis. Dalam keadaan sukar membersihkan gigi kerana gigi berlapis, lazimnya doktor akan mengesyorkan anda memakai pendakap gigi atau braces agar gigi mudah dibersihkan.

Namun, pemakaian pendakap gigi juga boleh menjadi perangkap plak. Begitu juga pemakaian gigi palsu dan aplians boleh tanggal. Pesakit perlu membersihkan aplians dalam mulut dengan sempurna sekurang-kurangnya dua kali sehari. Bagi pemakai gigi palsu, pastikan gigi palsu dibersihkan dan direndam sepanjang malam dengan antiseptik untuk mengelakkan pengumpulan bakteria. Jangan pakai gigi palsu waktu tidur kerana waktu itu pengaliran air liur berkurangan dan boleh membuatkan gusi dan dalam mulut cenderung untuk kering. Gusi anda mungkin trauma dek geseran plastik gigi palsu sekali gus menyebabkan pendarahan gusi yang diakibatkan oleh geseran mekanikal.

Mudah saja penyelesaian untuk gusi berdarah ini. Perkara pertama perlu dilakukan ialah pergi ke klinik gigi untuk mengenal pasti punca gusi berdarah. Kemudian doktor gigi anda akan merangka rawatan yang tepat untuk anda seperti penskaleran gigi, pendakap gigi dan rawatan-rawatan lain yang perlu.

Penjagaan di rumah juga penting. Gunakan berus gigi jenis lembut dan pastikan diganti tiga bulan sekali. Gunakan ubat gigi yang sesuai dan berpartikel halus untuk mengelakkan gusi luka. Amalkan berkumur-kumur dengan air garam setiap malam selepas memberus gigi. Ambil setengah sudu kecil garam dilarutkan dalam satu gelas air suam dan berkumurlah. Amalkan pengambilan vitamin C dan makanan yang kaya dengan vitamin K untuk pertahan sistem imun tubuh serta mengekalkan kesihatan gusi.

Gusi berdarah mudah ditangani dengan syarat anda lebih cakna akan kesihatan dan kebersihan mulut. Gigi yang cantik, gusi yang sihat dan nafas yang segar akan menjadikan kita orang yang tampil lebih yakin. Hingga bertemu di masa akan datang, senyum ceria sentiasa.