Pelbagai penyakit berbahaya seperti diabetes, serangan jantung dan darah tinggi menanti mereka yang tidak menjaga pemakanan dengan diet yang betul.

Mana tidaknya hampir 50 peratus daripada rakyat negara ini tergolong dalam kelompok obesiti ekoran gaya hidup mereka yang gemar mengambil makanan segera dan kurang bersenam.

Berikutan masalah obesiti yang tiada kesudahannya melanda negara kita, pakar kecergasan yang popular, Kevin Zahari tidak mahu memandang remeh, sebaliknya mencetuskan satu program kesedaran kesihatan penjagaan makanan dalam kalangan komuniti sekolah.

Pemilik nama Kevin Zahari Abd. Ghaffar, 40, berkata, program yang dinamakan Jom Kurus Sekolah itu terbuka kepada semua sekolah dari seluruh negara dan boleh didaftarkan secara percuma.

Katanya, program itu bukan bertujuan mengurangkan berat badan pelajar yang sedang melalui proses tumbesaran tetapi untuk membekalkan pelajar dengan ilmu tentang gaya hidup sihat yang mereka boleh terap kelak.

“Setakat ini, hampir 500 buah sekolah telah berdaftar untuk menyertai program yang baharu sahaja dilancarkan dua minggu lalu. Program ini melibatkan pelajar, guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Program ini bukan sahaja memfokuskan kepada pelajar, sebaliknya kepada guru dan komuniti sekolah kerana masalah kegemukan secara umumnya tidak mengira latar belakang usia seseorang,” katanya kepada Mega Rona.

Mengulas lanjut, Kevin yang turut dikenali sebagai Cikgu Fitness berkata, objektif utama Jom Kurus Sekolah adalah untuk menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sebelum mereka melangkah ke alam dewasa.

“Menerusi modul yang akan diberikan, ia bukan sahaja memberi pendedahan teori mengenai ilmu penjagaan makanan, malah turut dilengkapi dengan aktiviti sukan yang boleh dilakukan pelajar dan guru.

“Mereka akan mendapat bimbingan secara terus daripada jurulatih dan pakar pemakanan yang akan membantu mereka mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan betul,” katanya.

Tambahnya, program yang masih dalam fasa pengenalan itu turut menghubungkan setiap sekolah dengan pakar pemakanan, jurulatih dan sebagainya bagi membantu pelajar dan guru melaksanakan aktiviti di sekolah.

“Kadangkala, ramai yang cuba untuk kurus atau sihat, namun mereka tidak mengetahui cara pengambilan makanan yang betul dan aktiviti fizikal yang perlu dilakukan.

“Program yang dirancang ini merangkumi topik pemakanan sihat, penambahbaikan aktiviti kokurikulum, cadangan penyediaan makanan di kantin sekolah, perkongsian ilmu bersama ibu bapa tentang kecergasan dan pemakanan. Kesemua itu diyakini mampu membantu pelajar untuk memahami asas kesihatan dengan baik,” katanya.

Menurut Kevin lagi, program yang mendapat kerjasama daripada pihak Kementerian Pendidikan itu akan dilancarkan pada Julai tahun ini dan diharapkan berjalan secara berterusan. Ini kerana modul dan bimbingan yang disediakan adalah percuma.

“Bagi pihak sekolah dan sukarelawan yang berminat untuk menyertai program ini, boleh layari laman sesawang www.cabaranjomkurus.com untuk mendaftar,” katanya.