SHARUDDIN SHARIFF
SHARUDDIN SHARIFF 

Malah, jika seseorang itu bergelar kedi profesional, maka pendapatannya boleh mencecah puluhan ribu ringgit sebulan, mungkin juga ratusan ribu ringgit.

Lebih 200 kelab golf di negara ini memerlukan khidmat kedi terutamanya kelab-kelab yang tersohor sekitar Lembah Klang seperti TPCC, Kelab Golf Mines Resort, Kelab Golf Glenmarie dan banyak lagi.

Menyedari permintaan tinggi terhadap perkhidmatan kedi, syarikat Primawoc Sdn. Bhd. mula mengambil dan melatih mereka yang berusia 18 tahun ke atas sebagai kedi untuk memenuhi permintaan kelab-kelab golf di negara ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Primawoc Sdn. Bhd., Kapten (B) Sharuddin Shariff, kini terdapat 70 kedi tempatan yang sedang dilatih oleh Primawoc bagi memenuhi permintaan lebih 200 kelab golf di negara ini.

Katanya, tenaga pengajar dari Primawoc akan memberi latihan kepada kedi-kedi ini berdasarkan tempoh yang ditetapkan.

Selain latihan, katanya, kedi-kedi ini juga turut diberi segala kelengkapan pekerjaan oleh Primawoc termasuk latihan asas atau teori, praktikal dan juga penginapan serta pengangkutan.

“Walaupun terdapat 70 kedi tempatan yang dilatih, namun jumlah itu masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan dari kelab-kelab golf terutama di Kuala Lumpur dan Selangor. Justeru, Primawoc masih mencari ramai lagi anak-anak muda lelaki atau wanita yang berumur 18 ke atas, yang berminat untuk bekerja sebagai kedi.

“Kita akan memberi tunjuk ajar dan latihan yang cukup dari pelbagai sudut termasuk cara-cara ketika bersama pemain di padang golf dan green, penampilan termasuk pakaian kemas dan juga cara berkomunikasi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Sharuddin, Primawoc ada kontrak dengan kelab-kelab golf, jadi pihaknya perlu patuh kepada kontrak dengan memenuhi permintaan mereka yang mahukan kedi yang cukup.

Jadi, tambahnya, Primawoc memerlukan mereka yang benar-benar minat untuk menjadi kedi.

Bercakap mengenai sesi pembelajaran, Sharuddin memberitahu, tempoh pembelajaran teori tidak lama hanya dua hari sahaja dan selepas itu mereka akan menjalani latihan praktikal di padang golf selama tujuh hari.

Kata beliau, apa yang menariknya ialah ketika kedi-kedi ini menjalani latihan praktikal di padang bersama kedi berpengalaman, masa itu mereka sudah boleh dapat tip, paling kurang pun RM50 daripada pemain golf.

“Kerja sebagai kedi ini sebenarnya menarik kerana sumber pendapatan yang diperolehi memang memuaskan, apatah lagi setiap hari mereka akan mendapat wang tunai paling sikit pun RM50, itupun kalau sekali turun padang.

“Kalau seorang kedi itu turun dua kali, maka dia akan memperoleh RM100. Dan kalau bernasib baik dapat golfer yang pemurah, mereka akan mendapat mungkin RM200 untuk sehari bekerja,” ujarnya.

Sharuddin berkata, di bawah kendalian Primawoc, kedi akan mendapat gaji kira-kira RM1,200 sebulan, tetapi jika dicampur dengan tip harian yang akan mereka dapat jika rajin bekerja, mereka akan mendapat lebih dari RM3,000.

Kerja kedi ini, tambah beliau, sebenarnya bukan hanya tertumpu terhadap layanan kepada pemain sahaja, malah kedi juga mampu pergi lebih jauh dari itu seperti boleh jadi marshal, atau kalau pandai bermain golf, tidak mustahil mereka boleh jadi pemain profesional.

Kepada mereka yang berminat menjadi kedi, boleh datang ke pejabat Primawoc di D12-2, Jalan Serai Wangi M-16/M, Alam Avenue2, Seksyen 16, 40200 Shah Alam, atau hubungi Puan Laila Rasni di talian 011-59207447.