Biarpun ditubuhkan Februari 2016, namun penglibatan ahli kelab itu dalam arena sukan dua tayar tersebut telah berlangsung beberapa tahun sebelum penubuhan rasmi kelab itu.

Menerusi Kayuhan Kupu-Kupu RTMCC Berbakti, kelab tersebut telah menyumbang bakti kepada golongan petugas atau pekerja yang menjalankan kerja-kerja pembersihan di ibu kota dan golongan gelandangan sebelum penubuhannya.

Setiausaha RTMCC, Aireen Rosli berkata, sejarah penubuhan RTMCC bermula apabila dia bersama beberapa ahli kumpulan itu berbasikal di sekitar Kuala Lumpur sambil menyerahkan bungkusan makanan dan air minuman kepada petugas yang membersih dan mengindahkan bandar raya Kuala Lumpur.

Katanya, ‘Kayuhan Kupu-Kupu’ pada waktu malam itu pada asalnya tidak mempunyai konsep jelas sebaliknya sekadar suka-suka, namun kayuhan ahli kumpulan itu mula dikenali ramai kerana mereka memberi makan kepada gelandangan dan kumpulan pembersihan di sekitar ibu negara.

“Akhirnya kami memutuskan untuk menubuhkan RTMCC, sekali gus aktiviti yang dilakukan semasa Kayuhan Kupu-Kupu dikekalkan dan menjadi ‘trade mark’ kepada kelab ini yang membantu kumpulan pekerja pembersihan termasuk petugas Alam Flora, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan orang gelandangan.

“Alhamdulillah, meskipun kecil sahaja bantuan yang kami sediakan kepada mereka, namun usaha kami ini sangat dihargai. Malah kami juga berasa bersyukur kerana dapat membantu golongan miskin bandar di negara ini dengan sedikit inisiatif RTMCC ini,” katanya yang ditemui , baru-baru ini.

Menurutnya, meskipun RTMCC berjaya menganjurkan program kayuhan berskala besar di negara ini, namun Kayuhan Kupu-Kupu tetap dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Tambahnya, dengan kerjasama Masjid Muhammadi Angkasapuri, kayuhan tersebut diteruskan demi memberi manfaat kepada golongan sasar di dalam masyarakat.

“Sebelum ini, RTMCC menggunakan sumbangan orang ramai dan rakan kenalan di RTM untuk membeli makanan dan minuman. Namun kini kami mendapat sumbangan daripada Masjid Muhammadi Angkasapuri. Alhamdulillah, usaha kami ini terus mendapat perhatian masyarakat yang prihatin,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan kayuhan RTMCC, Aireen berkata, tiga acara besar akan dianjurkan pada tahun ini iaitu Jelajah Jejak Legenda 1.0 (Jelajah Langkawi) pada Februari ini, Jelajah Jejak Legenda 2.0 dari Kuala Lumpur ke Melaka (Mac) serta Jelajah Epik 3.0 (Utara-Selatan) sejauh 700 kilometer (km) pada Ogos.

Jelasnya, Jejak Legenda 1.0 di Langkawi memfokuskan kepada aktiviti mempromosi aktiviti pelancongan dan gaya hidup sihat, selain melihat panorama indah di pulau tersebut.

Sementara itu, Jelajah Jejak Legenda 2.0 dari Kuala Lumpur ke Melaka yang dijangkakan akan mengambil masa selama tiga hari dua malam merupakan kesinambungan kepada sambutan ulang tahun ke-73 RTM pada tahun ini.

“Selain sempena 73 tahun RTM, tahun ini juga merupakan Tahun Melawat Melaka, maka kayuhan ini adalah sangat bermakna buat kami sebagai ahli RTMCC. Dijangka seramai 73 orang akan berkayuh dari Angkasapuri ke Melaka.

``Namun kayuhan ini terbuka kepada orang ramai yang ingin menyertainya bermula dari Negeri Sembilan atau Melaka.

“Satu kayuhan Jelajah Melaka akan diadakan pada hari terakhir kami di Negeri Bersejarah itu. Kemungkinan besar tiada bayaran akan dikenakan untuk orang ramai turut sama dalam kayuhan ini, sekali gus diharap dapat menarik minat golongan belia menyertai aktiviti sihat bersama RTMCC,” katanya.

Aireen berkata, pada awal tahun ini, RTMCC berjaya menganjurkan Kayuhan Silaturrahim Tapah-Cameron Highlands yang melibatkan kayuhan sejauh 56 km satu hala dengan kerjasama sebuah pasukan berbasikal dari Tapah, Perak yang dikenali dengan nama Bonk Cycling bermula dari Hotel Tapah KU3.

Katanya, program kayuhan tersebut dianjurkan bagi memberi peluang kepada ahli untuk merasai kayuhan mencabar iaitu kayuhan mendaki sepanjang perjalanan.

Ditanya mengenai penglibatan RTMCC dan penganjuran acara berbasikal di negara ini, katanya, antara program disertai adalah Kayuhan Amal Merdeka pada 2016 dan 2018, Misi Bikecamp ke perkampungan orang asli di Pos Santeh di Sungai Siput, Perak (2017) dan kayuhan bersama dengan Persatuan Orang Buta Brickfields Kuala Lumpur (2017).

Selain itu, kumpulan kayuhan di bawah RTMCC, The Pedal Musafir merupakan mereka yang terlibat dalam kayuhan kembara menggunakan touring bike.

Jelasnya, selain akan beriktikaf di masjid di sepanjang pengembaraan, kumpulan kayuhan itu sangat aktif menganjurkan program bersama masyarakat.

Katanya, antara program dijalankan adalah Jelajah Epik 1.0 dengan menyusuri Sungai Pahang sejauh 350 km pada 2017 dan Jelajah Epik 2.0 (Barat-Timur Semenanjung) iaitu dari Teluk Intan, Perak ke Kuala Terengganu sejauh 500 km pada tahun lalu.