Itulah laluan Nurshahida Mohd. Hamidon yang meminati dunia peragaan sejak berusia 15 tahun.

Sejak di bangku sekolah, anak kelahiran Ijok, Selangor yang mesra dengan sapaan Aurora diperkenalkan dengan dunia peragaan oleh bapa saudaranya.

AURORA mempunyai minat dalam cabang seni yang berlainan dan bercita-cita
 

Langkah pertamanya adalah menghadiri sesi penggambaran bersama majalah Pengantin.

Sempurna penampilannya berada di hadapan kamera dengan susuk yang tinggi lampai mengenakan busana raja sehari, biarpun usianya ketika itu baharu menginjak zaman remaja.

“Itu kali pertama saya melangkah dalam dunia peragaan yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.

“Apabila mengenakan pakaian yang cantik, kemudian berada di hadapan kamera, itu membuatkan saya teruja dan terus jatuh hati pada dunia peragaan.

“Namun, menyedari ketika itu saya masih lagi bergelar ‘budak sekolah’, jadi saya lebih fokus kepada pelajaran,” katanya kepada S2.

Seni adalah bidang yang amat diminati Aurora. Malah ketika di tingkatan lima persekolahan, dia mengambil jurusan itu pada 2016.

Di samping itu, sebelum menamatkan zaman persekolahan, gadis berusia 19 tahun itu juga meminati seni muzik dan pernah menyertai pelbagai pertandingan dan membuat persembahan.

“Itu ‘part’ muzik...saya juga minat menyanyi dan pernah mempunyai ‘band’ sendiri dan terlibat dalam persembahan gigs.

“Dalam masa yang sama, saya juga minat berlakon. Pengalaman pertama adalah menyertai pertandingan drama komponen sastera (komsas) di sekolah.

“Kemudian saya dapat pendedahan daripada mahasiswa Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Sejak itu, saya mula berlakon teater,” ujarnya.

Meskipun meminati pelbagai cabang seni, namun Aurora tetap fokus terhadap minatnya yang lain.

Bahkan selepas sekolah, dia bijak mencari peluang dan berjaya meraih gelaran finalis dalam pertandingan Pencarian Wanita Melayu.

Sejak kejayaan itu, Aurora diberi kepercayaan untuk mencuba bakat dalam filem dan siri televisyen seperti Budak Ijat yang disiarkan di TV3 dan terbaharu, filem komedi seram, Tantiana yang bakal ditayangkan di pawagam pada tahun hadapan.

Meskipun mula mendaki dalam mengejar impiannya untuk menerbitkan album dan pergi lebih jauh dalam dunia peragaan serta lakonan, dia tidak lupa bumi yang dipijak.

Ingin berbakti pada sekolah, Aurora memenuhi permintaan guru sekolahnya dahulu untuk mengajar seni teater dan nyanyian terutama muzik Melayu asli di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram, Kuala Selangor.