Pun begitu, penggunaan tumbuhan hidup memerlukan penjagaan rapi, malah sedikit sukar memandangkan di dalam rumah tiada pencahayaan terus matahari.

Justeru, bagi yang masih ingin memberikan suasana hijau, pilihan tumbuhan palsu adalah yang terbaik. Usah bimbang, trend penggunaan tumbuhan palsu membolehkan peminat dekorasi memperoleh kualiti pokok tiruan yang seakan-akan pokok sebenar.

Bagi pemilik jenama Abylla Home Decor, Nabilah Hamzah, 27, yang merupakan usahawan pokok tiruan sejak setahun lalu, penggunaan pokok tiruan sebagai hiasan mula menjadi trend sejak beberapa tahun ini.

Jelasnya, yang berjinak-jinak dengan perniagaan berkenaan secara kebetulan, tidak menyangka daripada hanya beberapa batang pokok, kini lebih 1,000 batang pokok mampu dijual setiap bulan.

Tambahnya, yang turut mempunyai 30 orang ejen di seluruh Semenanjung, pokok tiruan yang dijual mempunyai kualiti tinggi sehingga pelanggan sering terkeliru menyangkakan ia asli.

“Pada awalnya, saya hanya memuat naik gambar dekorasi rumah di laman media dengan hiasan pokok-pokok tiruan, kemudian ramai bertanyakan tentang hiasan berkenaan dan meminta saya membelikannya.

“Pada awalnya, agak susah untuk memenuhi permintaan mereka kerana struktur pokok yang tinggi sukar untuk dihantar menggunakan pos. Namun, saya cuba juga memandangkan mereka beria-ia mahukannya.

“Bermula dari situ, pengikut dalam laman sosial semakin bertambah dan semakin banyak permintaan untuk pokok tersebut, membuatkan saya mengambil keputusan menjual secara serius,” jelasnya yang berasal dari Kajang, Selangor.

Bermula dengan menjual pokok renek dari jenis Monstera, yang mendapat sambutan menggalakkan, Nabilah berterusan mendapat permintaan pokok-pokok daripada jenis lain seperti Fidle Fig, Palm, Corn Plant, pelbagai jenis daun keladi dan terbaharu pokok pisang.

Jelasnya, penggunaan pokok tiruan menjadi semakin diminati apabila ia tular di laman Facebook Kaki Deko, yang merupakan antara platform popular bagi peminat dekorasi kediaman.

Katanya, pokok tiruan jadi pilihan kerana mudah dijaga, hanya membersihkan habuk menggunakan air dan sedikit campuran pelembut kain.

“Dari segi menghiasnya pula, pilihan jenis dan saiz pokok penting bagi mengelakkan ruang menjadi serabut. Sebagai contoh, di atas meja hanya gunakan pokok kecil, manakala di sudut dinding, hias dengan pokok tinggi.

“Bagi menyuntik suasana lebih realistik, penggunaan pasu atau bakul rotan dapat membantu sudut berkenaan lebih cantik dan kemas,” ujarnya yang memaklumkan pokok tiruan dijual dari serendah RM5 hingga RM399.