Juallah apa sahaja barangan terpakai bermula dengan harga serendah RM1. Konsep yang diperkenalkan melalui Car Boot Sale Taman Puncak Jalil (PUJ) ternyata menarik ramai peniaga untuk menyertainya.

Presiden Persatuan Penduduk Taman Puncak Jalil, Zainuddin Zainal berkata, aktiviti jualan itu bermula sejak Januari 2014 dengan 30 peniaga sahaja ketika itu.

Zainuddin berkata, pada awal penganjurannya hanya melibatkan penduduk sekitar namun selepas beberapa bulan, sambutan amat mengga-lakkan diterima terutama daripada peniaga luar.

“Sehingga kini jumlah pe­niaga mencecah 150 orang yang menjual pelbagai barangan termasuk pakaian, aksesori wanita, pewangi kereta dan sebagainya.

“Tiada sebarang caj dikenakan sebaliknya peniaga ha­nya perlu mendapatkan per­­­­mit penjaja sementara daripada Majlis Perbandaran Su­bang Jaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Car Boot Sale berkenaan di­buka pada setiap hari Ahad seawal pukul 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari di Jalan 3/13, PUJ 3, Seri Kembangan, Selangor.

Peniaga, Mohd. Nazri Buniran, 39, yang menjual barangan bayi sejak empat tahun lalu mengakui jualannya semakin meningkat berikutan sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

“Alhamdulillah, saya sudah mempunyai pelanggan tetap dan akan datang setiap minggu untuk membeli pakaian bayi terpakai yang dijual dengan harga serendah RM1.

Katanya, dia melihat program ini lebih ke­­pada program ko­muniti kerana ramai jiran yang pada mulanya mengenali antara satu sama lain kini mula rapat apabila kerap berjumpa di tapak berkenaan.

Pelajar dari se­buah universiti tem­patan, Nur Sakina Mokhtar, 22, pula berkata, dia mengumpul pakaian, beg dan kasut terpakai daripada ahli keluarga dan rakan-rakan untuk dijual bagi mencari duit poket dan mengisi dana membantu misi kemanusiaan di Indonesia nanti.