Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, nilai keseluruhan hadiah itu termasuklah hadiah barangan elektrik kepada para pemenang selain 50 hadiah cabutan bertuah.

“Tujuh hadiah cabutan bertuah utama ialah dua buah kereta Perodua Axia serta lima buah motosikal menanti 1,200 peserta dari dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena majlis penyerahan perjanjian antara Ayer Keroh Country Club Berhad (AKCCB) dengan EZ5 Entertainmemt Sdn. Bhd. di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Pengerusi EZ5 Entertainment, Datuk Seri Yap Ngan Choy.

Jelas Adly, kejohanan bagi edisi ketujuh itu akan diadakan serentak di empat lapangan golf seluruh Melaka pada 16 hingga 17 Mac depan.

“Sebanyak tiga sesi akan diadakan di setiap empat lapangan golf termasuk AKCCB, A Famosa Golf & Country Club, Orna Golf & Country Club dan Tiara Golf Resort iaitu sesi pagi dan petang pada 16 Mac serta sesi pagi pada hari berikutnya.

“Lebih menarik, kejohanan ini akan disertai oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob selain pemimpin kerajaan Persekutuan dan negeri serta ahli-ahli korporat,” ujarnya.

Tambah beliau, Melaka 750+7 Golf Open akan menarik bukan sahaja peserta tempatan tetapi juga pemain golf antarabangsa termasuk Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Langkah ini bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung dan bermalam di Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2019,” katanya.

Yuran penyertaan bagi setiap peserta adalah sebanyak RM300 untuk satu sesi, RM500 untuk dua sesi dan RM650 untuk tiga sesi.

Tarikh tutup penyertaan pada 28 Februari dan individu berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di keempat-empat kelab golf terlibat.