Menukar pakaian, menyikat rambut dan mengemas aksesori bagi patung kecil molek ini sudah semestinya menjadi rutin harian bagi penggemar Barbie.

Sudah menjadi lumrah patung Barbie menjadi salah satu hadiah istimewa menjelang ulang tahun kelahiran mereka.

Aksesori patung Barbie juga boleh di dapati di pasaran tempatan mengikut cita rasa seseorang yang dijahit khusus untuk mencantikkan patung tersebut.

Hobi mengumpul gaun patung Barbie adalah antara yang eksklusif di negara ini kerana kos bagi menyiapkan sepasang gaun termasuk aksesori agak mahal kerana material yang digunakan memerlukan kos yang tinggi.

Itu diakui oleh pereka gaun Barbie, Erpha Ahdayani Othman, 41, mengenai minat orang ramai yang sanggup menghabiskan wang beratus ringgit semata-mata mahu menempah gaun cantik bagi patung kesayangan mereka.

“Permintaan tinggi terhadap gaun jahitan tangan patung Barbie bukan sahaja diterima dari dalam negara, malah saya turut mendapat tempahan yang sangat menggalakkan dari luar negara.

“Minat yang mendalam terhadap gaun Barbie membuatkan saya sanggup menjahit aksesori patung ini sebagai hobi. Namun, siapa sangka jahitan yang dibuat pada asalnya suka-suka mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai,” katanya.

Menurut Erpha Ahdayani yang mula berkecimpung dalam pembuatan fesyen gaun Barbie sejak 2014, patung itu terdiri daripada pelbagai jenis iaitu silkstone Barbie, vintage Barbie, playline Barbie serta Barbie muse yang memerlukan cara jahitan berbeza untuk setiap gaun yang akan dihasilkan.

“Oleh itu, saya menjahit gaun Barbie ini berdasarkan model patung tersebut dan kebanyakan permintaan daripada pelanggan dalam dan luar negara meminta rekaan fesyen ala Inggeris tahun 60-an.

“Walaupun reka bentuk gaun yang dihasilkan nampak ringkas, namun ia memerlukan teknik jahitan yang betul supaya kelihatan kemas dan cantik apabila dipakaikan kepada anak patung,” katanya.

Mengulas lanjut, Erpha Ahdayani memberitahu, untuk menghasilkan gaun Barbie yang cantik perlu bijak dalam soal pemilihan kain, corak dan teksturnya supaya sesuai dengan patung yang kecil.

“Kebanyakan material yang digunakan adalah diimport dan memerlukan penelitian penuh semasa menjahit untuk memastikan ukuran tepat dan terletak elok di badan patung,” katanya sambil memberitahu harga sepasang gaun bermula RM94.22 hingga RM149.89. Untuk maklumat lanjut kunjungi Instagram @barbiedress.by.erpha