Kamariah Ismail, 61, yang bergandingan bersama dua orang anaknya iaitu Ihsan Khalid yang juga austisme dan Khalida Liyana Khalid mencuba nasib tahun ini dengan membawa inspirasi batik bertemakan All That Jazz.

“Saya tidak menyangka penyertaan kali pertama ini membuahkan hasil dengan hanya mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan rekaan ini.

“Kami telah melakukan pelbagai eksperimen termasuk membuat pemilihan warna dan teknik cap yang bersesuaian dengan perkembangan semasa,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian Piala Seri Endon 2014 Edisi Ke-15 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadiah berkenaan disampaikan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan Budi Penyayang, Nori Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Lela Mohd. Ali.

Mengulas lanjut, Kamariah menganggap kejayaannya itu menjadi titik permulaan untuk mengembangkan perniagaan Ziyan Batik yang diusahakan sejak beberapa tahun.

Katanya, hadiah kemenangan tersebut akan digunakan untuk membuka sebuah bengkel batik di Subang Jaya.

Tempat kedua kategori fesyen dimenangi Mohd. Hafiz Drahman menerusi tema Perisai Tradisi yang meraih wang tunai RM10,000 dan trofi manakala tempat ketiga menjadi milik Lim Jia Hui dengan membawa pulang RM5,000 dan trofi.

Kesemua pemenang kategori itu adalah antara 12 finalis bagi pertandingan yang kini memasuki tahun ke-15 penganjurannya. - UTUSAN ONLINE