Selain gulai asam rong yang kuahnya diperbuat daripada buah perah sebagai asas resipi, menu lain yang tidak kurang membuka selera adalah pais tempoyak, ikan bakar, stim patin tempoyak, ayam kampung goreng dan sambal hitam Raub.

Bagi mereka yang inginkan kelainan dalam menikmati minuman teh tarik pula, Anak Raub Corner mungkin menjadi restoran pertama di negara ini yang menyediakan teh tarik gula kabung.

Pengurusnya, Fadzli Mohamad Kamal berkata, konsep restoran berkenaan adalah mengutamakan masakan tradisional daerah Raub dan Pahang yang menjanjikan rasa enak dan lazat.

"Kita mahu menyediakan menu tradisional Pahang asli yang pastinya memberikan kelainan dan rasa yang enak dengan pelbagai pilihan seperti asam rong arnab.

"Saya rasa buat pertama kalinya juga kami menyediakan teh tarik gula kabung yang tidak menggunakan gula biasa tetapi menggunakan gula kabung asli Pahang," katanya ketika ditemui di Anak Raub Corner baru-baru ini. Menurut Fadzli, dari semasa ke semasa, pihaknya akan memperbanyakkan juadah tradisional menggunakan resipi asli Pahang turun temurun di restoran itu.

Beliau memberitahu, Anak Raub Corner menawarkan harga makanan yang berpatutan supaya tidak membebankan pelanggan. Tambahnya, premis tersebut kini mempunyai ruang terbuka yang boleh memuatkan 68 orang selain bilik berhawa dingin yang boleh memuatkan lebih 50 orang.

"Kami menawarkan harga berpatutan seperti asam rong pada harga RM6 dan RM5 untuk seorang dan patin tempoyak pada harga RM10 (kepala) dan RM6 bagi badan," ujarnya.