Menceritakan perjalanan kariernya sebagai kartunis, Keith, 43, bermula dengan karya ulungnya iaitu lerang komik Lawak Kampus pada 2003.

Komik yang berkisar tentang gelagat lucu dan kenakalan pelbagai karakter itu bukan sahaja berjaya membangkitkan kembali industri komik Malaysia yang agak suram ketika itu malah mengharumkan nama negara kerana turut menambat hati para peminat komik luar negara.

Keith, yang giat sebagai kartunis sejak 15 tahun lalu, memberitahu bahawa komik Doraemon adalah pencetus minatnya untuk melukis komik. Bertitik tolak dari situ, Keith tidak menoleh ke belakang lagi.

"Komik Jepun karya Fujiko F. Fujio itu banyak menampilkan ciri-ciri imaginasi yang membuat saya terus tenggelam dalam penceritaannya.

“Kisah khayalannya benar-benar mempertingkat pemikiran saya ke satu tahap lain,” kata Keith di galeri syarikat Kadokawa Gempak Starz di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengimbau kembali, beliau dengan penuh bersemangat menceritakan adegan-adegan menarik komik Doraemon yang ‘dikenalinya’ sejak sebelum bersekolah terutama mengenai pintu ajaib Doraemon yang membuka laluan ke mana sahaja yang diinginkan.

Terlalu teruja dengan setiap ciri imaginasi komik itu, beliau terus mengukir impian untuk menghasilkan sebuah kisah menarik dengan gaya lukisan yang mampu menambat hati remaja pada suatu hari kelak.

Ketika zaman persekolahan, Keith menyertai beberapa pertandingan melukis selain menjadi ketua Kelab Komik di sekolahnya.

Sebaik tamat persekolahan, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang reka bentuk grafik di InHouse Multimedia College, Kuala Lumpur. Tamat pengajian, beliau bekerja untuk seketika, namun Keith sedar bahawa komik tetap di hatinya dan bukan grafik.

Beliau menyambung pelajaran dalam bidang animasi di Limkokwing University of Creative Technology selama dua tahun dalam bidang Animasi 2D dan kemudian ke Sheridan College di Kanada, dalam jurusan animasi 3D.

Tamat pengajian, beliau memutuskan untuk menghasilkan kisah menarik melalui komik demi minat dan memenuhi impiannya.

Walaupun industri komik di Malaysia ketika itu belum berkembang dengan hanya beberapa karya terkemuka seperti Ujang dan Gila-Gila, ia tidak menghalang keghairahan anak kelahiran Kuala Lumpur itu untuk menceburi bidang berkenaan.

Artis komik terbaik

Namun, sebelum 'terjun ke alam komik', Keith bertanyakan pendapat ibunya terlebih dahulu.

“Ya, walaupun ibu pernah merotan saya, ibu jugalah yang menggalakkan saya untuk teruskan cita-cita dalam bidang komik,” tambahnya sambil menarik nafas lega.

Keputusan menyertai syarikat Kadokawa Gempak Starz (Gempak Starz) pada 2003, membawa beliau kepada kedudukannya sebaris dengan artis komik terbaik Asia Tenggara pada hari ini.

Lawak Kampus adalah yang paling berjaya dengan meraih kira-kira 150,000 pembaca bagi setiap edisi sehingga ke hari ini, di samping komik hiburan seperti Lawak Seleb, Wasabi dan Playground.

Sebagai seorang peminat tegar Lawak Kampus, penulis sering tertanya-tanya mengenai inspirasi beliau dalam menggarap komik itu. Ternyata karakter dan adegannya adalah cetusan dari zaman persekolahan beliau, kehidupan masyarakat sekeliling dan kisah-kisah menarik dari Facebook.

Dengan berleluasanya penggunaan internet, lebih mudah baginya mencari idea dalam menghasilkan komik selain memastikan kandungannya mengikuti trend terkini.

Menyentuh unsur-unsur tempatan dalam komiknya, Keith berkata, budaya Malaysia sangat penting.

“Kita perlu menerapkan budaya kita. Untuk membuatkan seseorang itu tertawa, suasana dan kisah-kisahnya hendaklah berkaitan dengan para pembaca itu,” katanya.

Antara yang diselitkan dalam jalan cerita komik berkenaan adalah van Milo yang menyediakan minuman percuma kepada murid sekolah, penggunaan aplikasi Foodpanda (penghantaran makanan) dan aplikasi Grab (perkhidmatan pengangkutan).

Keith mengakui tidak terlalu memfokuskan kepada standard lawak antarabangsa hingga terpaksa membuang elemen-elemen tempatan kerana baginya, jalan cerita komiknya perlu mudah difahami pembaca tempatan dan beliau tidak mahu menghampakan para pembaca yang setia menyokongnya.

Bagi pasaran luar negara, syarikat penerbitan yang telah membeli hak cipta kandungan komik Lawak Kampus, akan menyemak dan menyunting terlebih dahulu agar bersesuaian dengan budaya negara berkenaan.

Acap kali meneliti gambar beliau yang terpapar di muka hadapan setiap edisi komik Lawak Kampus, penulis rasa kagum akan hakikat bahawa seorang kartunis etnik Cina mampu menampilkan komik dalam bahasa Malaysia sehinggakan berjaya menarik perhatian rakyat pelbagai bangsa di negara ini.

Kumpul pengikut tersendiri

Menurut Keith, memang sejak mula beliau sendiri yang bertanggungjawab menyiapkan Lawak Kampus dalam bahasa Malaysia, namun kini edisi bahasa Malaysia diambil alih oleh jabatan editor, manakala beliau perlu menumpukan perhatian kepada edisi bahasa Mandarin yang diperkenal sejak 2004.

Lawak Kampus bukan sahaja mendapat sambutan dan berjaya mengumpul pengikut tersendiri di Malaysia, malah di beberapa negara Asia termasuk Indonesia, Thailand, Singapura dan China.

Demi menarik minat pembaca luar negara, komik itu diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan bahasa ibunda negara-negara berkenaan selain nama komik juga berbeza.

Misalnya, versi bahasa Inggeris untuk pasaran Singapura ialah Kuso High School, manakala versi Indonesia dikenali sebagai Komik Anak Sekolah Gokil.

Gempak Starz juga melancarkan beberapa aplikasi permainan khususnya untuk generasi milenial seperti Lawak Kampus: Dimension Drift dan Lawak Kampus: MathemaDice.

Selaras perkembangan era pendigitalan buku, syarikat itu juga merancang untuk melancarkan e-komiknya kelak.

Walaupun industri komik sangat mencabar dan sentiasa memerlukan idea baharu, Keith tidak pernah jemu mahupun berputus asa. Setiap empat bulan, beliau perlu terus mencari idea baharu untuk penghasilan komik edisi seterusnya.

Bagi Keith: “Ramai pembaca masih membaca dan menyokong komik kami. Sesungguhnya, walaupun agak sukar, kami perlu terus melukis sehingga suatu hari kami tidak mampu melukis lagi. Selagi termampu membuatkan orang ketawa, teruskanlah berbuat demikian.”

Sebelum mengakhiri sesi temu bual, kartunis yang tidak lokek senyuman itu menitipkan sedikit nasihat untuk bakal kartunis yang bertekad menceburi bidang komik.

Beliau berpesan agar tidak menyimpan idea di dalam kepala terlalu lama, sebaliknya terus melukis dan tunjukkan lukisan itu kepada orang ramai.

“Jika kurang memuaskan dan tidak mendapat respons yang baik, terus melukis dan melukis, suatu hari pasti anda akan menjadi lebih baik,” tegas beliau. - BERNAMA