Azim, 48, yang berasal dari Sungai Siput Utara, percaya minat dalam bidang kulinari dan hospitaliti perlu dipupuk dalam kala­ngan murid seawal di bangku persekolahan biarpun tiada kurikulum formal diajarkan kepada pelajar ketika ini.

Bagi Azim, adalah penting ibu bapa diyakinkan bahawa individu yang memilih kerjaya dalam bidang itu mempunyai masa depan cerah dengan penganugerahan kelayakan akademik yang diiktiraf.

AZIM AMRAN berhasrat memperkasa lebih ramai bakat muda dalam bidang kulinari dan hospitaliti. – Utus

AZIM AMRAN AZIM AMRAN berhasrat memperkasa lebih ramai bakat muda dalam bidang kulinari dan hospitaliti. – Utusan / Kamal Basir Wahab

‘‘Orang ramai kini menonton di televisyen, sudah terdapat cef bertaraf selebriti dan bukan lagi menjadi tukang masak yang hanya tersorok di belakang dapur.

‘‘Jadi, saya merasakan anak muda sudah faham situasi pada masa kini, cuma peranan perlu dimainkan oleh ibu bapa kerana memasak ini memerlukan minat dan kemahiran, justeru jika kita mahu melentur buluh, biarlah dari rebungnya,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Azim berkata, dia mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai pensyarah kulinari pada penghujung tahun lalu dan berhijrah ke bandar raya ini bagi menjaga bapa mentuanya yang menghidap penyakit jantung.

Dalam masa sama, dia dan isterinya, Maznimafi Khulidin, 46, yang berpengalaman luas dalam bidang hospitaliti, menubuhkan sebuah syarikat dinamakan Irham Culipreneur Sdn. Bhd. pada awal tahun ini.

Kedua-dua pasangan anak jati negeri ini berhasrat untuk meneroka peluang baharu sekali gus me­nyumbang bakti dalam mempromosi pelancongan makanan di Perak.

Azim sebelum ini pernah ber­khidmat di beberapa hotel di ne­geri ini termasuk di Pangkor Laut Resort, Rice & Spice di Syuen Hotel, Hillcity Hotel dan Dome Cafe di Kuala Lumpur dengan kepakaran dalam penyediaan hidangan barat dan sajian Malaysia.

Sementara itu, Maznimafi pula berpengalaman mengetuai bahagian jualan dan pemasaran di sebuah hotel di ibu negara.

Berbekalkan kepakaran serta pengalaman dalam bidang masing-masing, mereka berdua berhasrat mencungkil pencarian bakat baharu menerusi penganjuran Program Perak Junior Master Chef.

Menyasarkan penyertaan murid seawal umur tujuh hingga 12 tahun, program tersebut bakal berlangsung di 12 buah mukim di negeri ini dengan kerjasama Persatuan Gastronomi Malaysia yang bakal memberikan pengiktirafan persijilan.

Menurutnya, lokasi penganjurannya masih belum diputuskan, namun yang pasti, ia akan diadakan di sebuah tempat pelancongan bagi membantu melonjakkan promosi kawasan berkenaan di mata pelancong.

‘‘Pada cuti sekolah bulan Mei ini juga, kita akan mengadakan acara untuk kanak-kanak iaitu menghias kek cawan gergasi di Movie Animation Park Studio (MAPS) dengan penawaran hadiah lumayan.

‘‘Selain itu, kita turut bakal menganjurkan jerayawara bermula di sekolah dalam daerah Kinta di sini bagi memberi pendedahan serta menarik minat pelajar untuk menyertai bidang kulinari,’’ katanya.

Bagi golongan dewasa, Azim berkata, satu pertandingan pencarian laksa Perak akan diadakan di MAPS pada tahun ini yang meng­­utamakan penggunaan bahan-bahan asli tanpa sebarang perisa makanan.

Katanya, ketika ini terdapat banyak jenis laksa yang boleh didapati di negeri ini seperti laksa Kuala Kangsar, laksa mi Pangkor, laksa buyung dan laksa Ipoh.

‘‘Oleh itu, suatu kriteria tertentu bagi penentuan keaslian laksa Perak mengikut kategori akan ditetapkan dengan mengambil kira bahan-bahan yang digunakan, cara penyediaan termasuk mi dan kuahnya.

‘‘Secara tidak langsung, ia akan membantu pelancong mencari keaslian rasa sebenar laksa di ne­geri ini dengan merujuk kepada pemenangnya kelak,’’ katanya.

Selain itu, kata Azim, pihaknya juga dijangka bakal membuka Studio of Cuisine di Bandar Seri Botani di sini pada pertengahan tahun ini.

Menurutnya, studio berkenaan bukan sahaja bakal menganjurkan kelas masakan untuk pelajar kulinari mengasah kemahiran mema­sak mereka , malahan terbuka ke­pada golongan dewasa serta veteran yang mahu mendalami penyediaan sajian berkhasiat.

‘‘Impian saya ialah berkongsi minat dan kemahiran yang ada, dengan sesiapa sahaja yang ingin mendalami bidang kulinari termasuk peniaga yang mahu memperbaiki kualiti masakan atau mereka yang ingin memahirkan diri dengan pelbagai jenis masakan,’’ katanya.