Berdasarkan sejarah, BMX diperkenal sebagai perlumbaan trek lumpur sekitar tahun 1970 di selatan California, Amerika Syarikat (AS).

Pada ketika itu BMX dicipta seakan motosikal motocross yang diterjemahkan kepada bentuk basikal yang ringan dan sesuai dikayuh di atas trek permotoran berlumpur atau di atas jalan.

Tidak lama selepas itu, basikal jenis ini menjadi semakin popular lebih-lebih lagi setelah dokumentari On Any Sunday yang menceritakan tentang BMX dan perlumbaan motocross ditonton jutaan orang di AS.

Di Malaysia, basikal BMX tidak kurang popular selepas berkembang di negara ini sejak tahun 1980 lagi dan antara jenis yang paling terkenal pada masa itu adalah Race dan Street.

Ahmad Aziz, 40, adalah antara pemain berpengalaman yang cukup dikenali dalam komuniti BMX di Malaysia. Dia antara pemain senior yang sinonim dengan Flatland, salah satu jenis basikal BMX yang diminati ramai.

Katanya, ketika awal pembabitannya sekitar 1993, basikal BMX dilihat seperti satu budaya popular terutamanya bagi golongan muda yang tinggal di bandar besar mahupun di kawasan-kawasan kampung.

“Basikal BMX pada ketika itu boleh diibaratkan seperti gajet pada masa kini, yang mana cukup popular bukan sahaja dalam kalangan remaja, malah golongan berusia,” katanya.

Berkongsi lanjut, Ahmad memberitahu basikal BMX merupakan permainan yang unik kerana kepelbagaian jenis dan bentuk dan kegunaannya.

“BMX ini banyak terbahagi kepada beberapa jenis termasuk Flatland, Street, Park, Vert, Race, Dirt dan Trail. Namun di Malaysia, Flatland, Street dan Park adalah antara jenis yang mendapat sambutan.

“Walaupun kelihatan sama, tapi sebenarnya setiap jenis basikal BMX ada perbezaannya. Itu merangkumi ketinggian, saiz basikal, saiz tayar, bentuk dan bermacam-macam lagi,” jelasnya.

Pengamal-pengamal BMX tentu sinonim dengan kepelbagaian helah atau kemahiran yang boleh dilakukan dengan basikal tersebut.

Itulah antara kelebihan BMX, yang mana selain digunakan untuk perlumbaan dan riadah, basikal ini juga boleh digunakan sebagai saluran kreativiti dan kemahiran fizikal aras tinggi.

Namun kata Ahmad, itu menguasai satu-satu helah adalah bukan mudah dan perlu kesabaran serta fokus yang tinggi.

“Dalam BMX, bermacam-macam helah ekstrim yang boleh dibuat dan akan sentiasa wujud helah baharu dari hari ke hari. Tetapi seseorang itu perlu masa untuk kuasai helah-helah tertentu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad mengakui aktiviti berbasikal BMX ini sedikit sebanyak terkesan dengan kewujudan gajet.

Harapannya agar anak-anak muda boleh mempertimbangkan untuk mengenali BMX kerana kesan nya kepada kesihatan mental dan fizikal, serta kreativiti seseorang adalah amat besar.

“Di Malaysia sekarang ini tidak ramai anak-anak muda yang berminat dengan BMX kerana mereka lebih gemar duduk di rumah bermain permainan video.

“Saya harap anak-anak muda pilih aktiviti lebih menyihatkan dan bermain BMX adalah salah satunya,” katanya lagi.