Memandangkan masih ada masyarakat Melayu Jawa yang menetap di beberapa daerah di negeri ini, seni warisan yang dibawa oleh masyarakat etnik Jawa dari daerah Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia itu masih dipersembah antaranya di daerah Batu Pahat, Muar dan Pontian.

Namun unsur ritual yang seolah-olah menjurus kepada syirik dalam persembahannya menjadikan seni tarian itu sering dilihat dari sudut negatif.

Menyedari perkara itu, dua anak jati kelahiran Johor, Raden Mohammad Azwan Naharudin dan Mohd. Arif Ani cuba memperkenal seni warisan itu secara positif melalui penghasilan filem pendek yang diberi nama Barong.

Minat yang mendalam dalam bidang perfileman mendorong dua sahabat itu untuk meneroka dan menyingkap sisi positif kesenian reog ataupun lebih dikenali sebagai barong yang membawa maksud ‘tarian topeng’.

Berjinak-jinak dalam bidang perfileman sejak tiga tahun lepas dan memiliki syarikat produksi yang diberi nama Pokta Studio, kedua-dua pemuda yang berusia 26 tahun itu mengakui bahawa menghasilkan karya sendiri boleh memberikan kepuasan kepada mereka.

Buat Raden Mohammad Azwan, dengan menjadikan filem arahan Allahyarhamah Yasmin Ahmad sebagai inspirasi mereka berdua, banyak cetusan idea diperoleh terutama dengan menghasilkan karya yang mampu membuka minda dan mata orang ramai terhadap sesuatu subjek yang ditonjolkan.

“Rasa puas bila dapat hasilkan karya sendiri, tapi rasa tak puas hati lagi dalam berkarya, masih membara, sebab objektif utama kami adalah nilai dan mesej positif harus sampai kepada masyarakat, selain memberi inspirasi kepada orang ramai untuk terus berjuang terutama dalam mencapai impian,” kata anak bongsu dari dua beradik itu, yag menjadi penerbit dan pengarah bersama filem itu.

Sering menyertai pertandingan menghasilkan video dan dokumentari menarik, Mohd. Arif yang merupakan anak sulung dari lima beradik itu pula berkata, ini adalah salah satu langkah bagi menonjolkan bakat mereka berdua.

“Kami suka mencuba, cari peluang untuk serlah bakat agar dikenali ramai atas penghasilan filem berkualiti. Dalam masa yang sama, belajar dari kesilapan dan selok-belok bidang ini. Menang itu bonus, justeru itu, kami rasa teruja untuk menghasilkan lebih banyak filem terutama yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat,” tambah beliau. - BERNAMA