Jawapan: Zikir adalah ibadah yang digalakkan dan dalam al-Quran umat Islam disuruh berzikir dengan banyak. Walau bagaimanapun tidak ditentukan berapakah jumlah banyak itu.

Manakala dalam riwayat hadis, ada bilangan tertentu yang dinyatakan, contohnya bilangan zikir tasbih sebanyak 33 kali selepas solat.

Dalam hal ini, keluasan syariah merangkumi semua pendapat. Bagi pendapat yang menetapkan bilangan sekadar apa disebut dalam riwayat hadis, maka ia adalah pendapat sahih. Ini kerana pendapat sebegini berdasarkan riwayat hadis.

Manakala pendapat yang menyarankan agar berzikir sehingga 1,000 kali pula berdasarkan kepada nas al-Quran yang tidak menetapkan apa-apa bilangan. Maka terserah kepada seseorang Muslim untuk berzikir sesuai dengan keinginan dan kemampuan masing-masing.

Pada pandangan saya, pendapat yang mengharamkan zikir dengan bilangan 1,000 kali agak menyempitkan ruang kehidupan Muslim. Ini kerana bilangan zikir tidak sama dengan bilangan rakaat solat fardu yang memang telah ditetapkan dan ijmak ulama sebanyak itu sahaja.

Manakala bilangan zikir terbuka kepada ijtihad. Oleh itu, adalah lebih baik jika kita mengamalkan bahawa bilangan zikir yang sabit dalam riwayat hadis adalah bilangan terbaik, namun tidak menafikan keharusan bilangan zikir melebihi bilangan tersebut.

Jangan main-main dengan talak

Suami saya berkata, jika saya keluar rumah, maka jatuh talak satu. Adakah talak berlaku jika saya keluar rumah dan bolehkah lafaz sebegini ditarik semula oleh suami?

Jawapan: Lafaz talak sebegini tidak sewajarnya diamalkan oleh suami. Ia disebut sebagai ta’liq talaq iaitu menggantungkan talak cerai dengan suatu perkara.

Para ulama berbeza pendapat dalam hukum ta’liq talaq. Ada ulama berpendapat bahawa talak berlaku jika sesuatu perkara yang ditetapkan itu berlaku dan ada sebahagian ulama berpendapat bahawa talak tidak berlaku.

Pada pandangan saya, ia tidak sewajarnya dilakukan oleh suami. Ini berbeza dengan ta’liq talaq ketika akad nikah. Ia memberi ruang kepada isteri untuk mencari jalan menamatkan perkahwinan jika si suami tidak bertanggungjawab atau tidak memberi nafkah beberapa lama. Ini harus dan wajar dilakukan.

Berdasarkan pendapat bahawa talak berlaku dengan ta’liq, maka ia tidak boleh dibatalkan atau ditarik semula. Oleh itu, para suami sewajarnya tidak mengguna sama sekali lafaz ta’liq talaq sebegini.

Perbanyakkan puasa Rejab, Syaaban

Bagaimanakah kaedah paling afdal berpuasa pada Rejab dan Syaaban?

Jawapan: Berpuasa adalah satu ibadat dan perkara yang baik. Terdapat lima hari diharamkan berpuasa setiap tahun iaitu pada 1 Syawal, 10 Zulhijah, 11 Zulhijah, 12 Zulhijah dan 13 Zulhijah. Manakala hari-hari yang lain tidak haram berpuasa.

Berbalik kepada puasa pada Rejab dan Syaaban, ia tidak termasuk dalam hari yang diharamkan berpuasa. Maka sesiapa yang ingin memperbanyakkan berpuasa pada Rejab dan Syaaban maka harus dilakukan.

Sesiapa yang ingin berpuasa penuh pada bulan Rejab dan bulan Syaaban juga boleh dilakukan.

Walau bagaimanapun, panduan berpuasa sunat yang ditunjukkan oleh Nabi adalah tatacara berpuasa paling baik. Pada kefahaman saya, tiadalah Nabi berpuasa penuh pada sepanjang bulan Rejab dan Syaaban.

Namun jika dilakukan puasa penuh, ia masih diharuskan.