ABIBULLAH SAMSUDIN
ABIBULLAH SAMSUDIN 

Pendekatan yang diambil bagi melahirkan lebih ramai generasi muda celik al-Quran itu bukan sahaja perlu disokong oleh setiap kelompok masyarakat, malah menuntut kerjasama erat semua agensi agama negeri bagi memastikan objektif utamanya tercapai.

Ketua Pengarah Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin berkata, usaha dakwah bagi menarik minat golongan muda mendalami al-Quran itu diyakini bakal berkembang hasil penganjuran kursus pengajiannya berpandukan modul pengajaran dan pembelajaran (P&P) kaedah ‘Abahata’ yang terbukti berkesan.

Beliau berkata, penganjuran ToT CQ-MAS 2019 sepanjang tahun ini meliputi semua daerah di Sabah dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS); Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS); Pejabat Daerah Papar, Membakut dan Beaufort serta Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

“Setakat ini empat daerah terlibat dalam program bermula di Semporna pada 2018 manakala di Papar, Membakut serta Beaufort pula berlangsung serentak pada 25 hingga 27 Januari lalu dengan disertai 120 orang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Jakim dan Guru Sekolah Agama Negeri.

“Kita sasarkan setiap guru mampu melatih 30 pelajar di kawasan masing-masing di mana keseluruhan 3,600 pelajar celik al-Quran dapat dilahirkan dalam tempoh terdekat,” katanya pada majlis penutup ToT CQ-MAS 2019 bagi tiga daerah (Papar, Membakut dan Beaufort) di Borneo Golf & Country Club, Bongawan, baru-baru ini.

Program ToT CQ-MAS menggunakan modul Abahata dikendalikan oleh Institut Pengajian al-Quran (IPaQ) selaku agensi khusus membangun dan mengembangkan ilmu al-Quran seterusnya membasmi buta huruf dalam kalangan masyarakat Islam.

SAMBUT BAIK

AIDI MOKTAR
AIDI MOKTAR 

Abibullah turut menzahirkan komitmen dan kesungguhan Yapeim bagi menjayakan program dakwah itu sebaik mungkin demi kelangsungan modal insan negara pada masa depan.

Menurut beliau, setelah memasuki tahun kedua penganjuran program ToT CQ-MAS 2019 di Sabah menyaksikan empat daerah telah terlibat dengan anggaran kos sebanyak RM481,000.

“Secara keseluruhannya kira-kira RM5 juta peruntukan dijangka disalurkan bagi pelaksanaan program ini melibatkan semua daerah di Sabah melalui hasil kutipan daripada Tabung Amal Jariah Yapeim,” ujarnya.

Penerapan konsep P&P Abahata yang interaktif iaitu gabungan teknik pergerakan dan nyanyian diyakini berkesan hingga membolehkan setiap peserta mampu membaca al-Quran dalam tempoh 30 jam setelah mengikuti sesi pembelajarannya secara intensif.

Sementara itu Menteri Undang-undang & Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar memuji dan menghargai setiap usaha serta kesungguhan Yapeim meneruskan penganjuran Kursus ToT CQ-MAS 2019 di Sabah seterusnya menarik minat anak muda mendalami kitab suci dan menjadi celik al-Quran.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap pelbagai usaha dilakukan oleh Yapeim, malah menghargai dan mengalu-alukan program dakwah berterusan yang dilaksanakan agensi itu.

“Difahamkan Yapeim akan terus menjelajah ke semua daerah di Sabah untuk kembangkan lagi kaedah pengajian ini. Selaku menteri bertanggungjawab saya sentiasa mengalu-alukan usaha ini ke arah melahirkan generasi muda yang celik al-Quran,” katanya.