FAUWAZ FADHIL NOOR
FAUWAZ FADHIL NOOR 

Tidak terhenti di situ, tangan yang ligat terus menyimpan imej sticker dan emoticon itu dalam galeri telefon sebelum dikongsi kepada orang lain termasuk mesej berkumpulan dalam aplikasi tersebut.

Bermula dengan niat menjadi bahan jenaka, tanpa mengetahui sumber atau meminta kebenaran pemilik wajah, sticker tersebut dikongsi ribuan pengguna lain berulang kali sehingga tanpa disedari mengaibkan pemilik wajah imej.

Begitulah antara kegilaan segelintir ‘hero’ media sosial yang aktif memanipulasi teknologi untuk menjadi yang terawal berkongsi dan mendapat pujian netizen dalam dunia maya tersebut.

Mengulas lanjut, ahli Persatuan Ulama Sedunia, Fauwaz Fadzil Noor berkata, tidak salah untuk bergurau senda, tetapi menjadikan orang lain sebagai alat jenaka menerusi media sosial seharusnya dielakkan, apatah lagi membuat suntingan sesuatu imej dengan rupa mengaibkan.

Ini sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka…” (al-Hujurat: 11).

Menurutnya, golongan yang gemar menggunakan gambar orang lain tanpa keizinan tergolong dalam kalangan mereka yang melanggar etika sebagai seorang Muslim.

“Seeloknya penggunaan imej yang melibatkan urusan peribadi adalah wajib bagi seseorang untuk meminta izin terlebih dahulu kerana ia termasuk dalam hukum keizinan.

“Malah, daripada segi etika perkara sebegini tidak sesuai dijadikan bahan gurauan. Ini kerana boleh mengundang haram dan berdosa kepada orang yang berkongsi kerana membuka ruang kecil meremehkan orang lain dan ada unsur-unsur memperlekehkan mereka,” jelasnya.

Apatah lagi tambahnya, bagi golongan wanita yang lebih mudah terdedah dengan fitnah dan aib.

Munafik menyamar akaun

MOHD. SUKKI OTHMAN
MOHD. SUKKI OTHMAN 

SEMENTARA itu, menurut pendakwah bebas, Dr. Mohd Sukki Othman, mereka yang menyalahgunakan alat teknologi dengan mencipta akaun sosial menggunakan imej orang lain tanpa pengetahuan dan izin individu tersebut dikategorikan sebagai pembohongan.

Justeru tambahnya, pembohongan yang dilakukan adalah satu daripada ciri-ciri bagi orang munafik

Beliau berpendapat, penggunaan imej tanpa kebenaran si pemilik perlu dielakkan kerana perbuatan berkenaan akan memberikan implikasi besar dalam pelbagai aspek.

Tidak cukup dengan itu, ia turut menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna bagi membezakan akaun yang sebenar ataupun palsu.

“Sekiranya terdapat individu yang menggunakan gambar orang lain, mereka perlu mendapatkan keizinan dan merujuk pihak tersebut terlebih dahulu.

“Hal ini bagi mengelakkan mereka dianggap sebagai pencuri gambar orang lain atau cuba berselindung tanpa menonjolkan diri sebenar,” katanya.

Beliau berkata, dalam konteks bergurau untuk mengeratkan hubungan, ia tidak boleh dipandang remeh dan perlu menekankan kandungan gurauan tersebut.

“Penggunaan imej yang tidak sepatutnya dan melakukan pembohongan di alam maya boleh dikategorikan sebagai haram.

BOLEH DENGAN SYARAT

Walau bagaimanapun, Mohd. Sukki berkata, tidak salah menggunakan teknologi, namun perlu dimanfaatkan ke arah kebaikan dan disertakan dengan pendedahan akhlak.

“Sekiranya masyarakat hari ini didedahkan dengan penggunaan teknologi semata-mata dan tidak dititipkan dengan nilai-nilai modal insan, hati dan jasmani dalam menentukan sebarang bentuk tindakan, mereka akan cenderung melakukan perkara yang dilarang.

“Ini kerana, sebarang pembangunan mengikut syariat Islam adalah proses dinamik dan harmoni dalam menentukan kesejahteraan masyarakat di dunia serta akhirat.

“Dalam hal ini, sebarang kemudahan teknologi bagi tujuan yang betul seperti berkongsi mesej yang baik akan memperoleh ganjaran pahala. Namun, jika mereka menggunakan kemudahan ini untuk menyebarkan fitnah, penipuan serta perkara ditegah Islam, ia adalah haram kerana boleh merosakkan kesejahteraan sedia ada,” ujarnya.

FARIZA MD. SHAM
FARIZA MD. SHAM 

SEMENTARA itu, Pakar Dakwah dan Pembangunan Remaja (Psikologi Dakwah dan Psikologi Islam), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Fariza Md. Sham berkata, menurut perspektif Islam, perbuatan itu sememangnya salah kerana boleh mengaibkan maruah seseorang individu tersebut.

“Perbuatan mengubah gambar orang lain dengan pelbagai mimik muka, aksi serta gaya ini seolah-olah menonjolkan sisi buruk seseorang itu dengan membuka aib tanpa mereka sedari.

“Dalam al-Quran turut menyentuh mengenai tindakan mengaibkan seseorang individu itu adalah dilarang kerana bukan sahaja boleh memalukan dan menjatuhkan imej mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Fariza memberitahu bahawa perbuatan menggunakan gambar-gambar pemimpin mahupun artis terkenal untuk tujuan jenaka semasa perbualan media sosial dilihat sebagai tidak menghormati pemilik gambar tersebut.

“Bukan sahaja tidak menghormati mereka yang merupakan pemimpin malah tindakan menggunakan gambar jelik sebagai emoticon ini sudah dilihat menjadi budaya yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat.

“Mana nilai budaya masyarakat timur dalam diri masyarakat? Mereka seharusnya tahu dalam Islam sendiri sudah mengkehendaki setiap individu untuk menghormati pemimpin atau sesama sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Fariza turut memberitahu bahawa tindakan mengaibkan individu dengan menggunakan emoticon ini akan memberikan kesan terhadap emosi seseorang sehingga menyebabkan kemurungan.

“Mangsa boleh mengalami tekanan iaitu rasa sedih, kecewa geram tertekan terutamanya apabila melihat gambar sendiri di dalam media sosial dijadikan bahan jenaka secara meluas.

“Apa yang boleh dilakukan untuk situasi begini adalah mereka tidak perlu mempedulikan apa dikatakan selain boleh menggunakan saluran undang-undang yang betul bagi mengelakkan gambar mereka terus disalah gunakan,” katanya.