Ini terbukti apabila Unisel menerusi Fakulti Perniagaan dan Perakaunan baru-baru ini sekali lagi menganjurkan program khas untuk madrasah seluruh negara. Program itu adalah Kursus Asas Pengurusan Kewangan dan Kursus Kepimpinan yang sekali gus bagi menunaikan tanggungjawab sosial korporat universiti berkenaan.

Pemangku Dekan fakulti itu, Mohd. Azrin Abdul Rahim berkata, program itu adalah kesinambungan daripada Seminar Pemantapan Pengurusan Madrasah Peringkat Kebangsaan 2017 yang dianjurkan fakulti sama di Unisel sebelum ini.

“Kursus Asas Pengurusan Kewangan adalah untuk memberi pendedahan tentang amalan terbaik dalam pengurusan kewangan di peringkat madrasah. Lebih 50 wakil pentadbir pelbagai madrasah seluruh negara yang terdiri daripada mudir (pengetua) dan kerani kewangan menyertai kursus ini,” katanya.

Pada kursus itu, perkongsian turut disampaikan oleh Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Unisel, Mohd. Hafiz Rosli.

Mohd. Azrin berkata, menerusi kursus itu diharap dapat memantapkan lagi pengurusan kewangan institusi masing-masing agar dapat dipertingkatkan hari demi hari.

“Daripada maklum balas diterima, peserta berasa amat teruja dengan perkongsian ilmu diberikan dan rata-rata mahukan supaya tempoh kursus dipanjangkan selain diperluaskan kepada aspek pengurusan lain.

“Mereka juga mencadangkan supaya program seumpama ini dapat diadakan lebih kerap agar lebih banyak madrasah dapat mengambil manfaat daripadanya,” katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, Kursus Kepimpinan yang menyasarkan pemimpin pelajar peringkat madrasah turut diadakan serentak bagi mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan pelajar tahfiz.

“Kedua-dua program ini sengaja diadakan pada masa sama supaya dapat memudahkan urusan logistik setiap madrasah menghantar wakil menyertai kursus.

“Lebih 60 pemimpin pelajar hadir dan saya sendiri bersama rakan-rakan membantu membimbing mereka. Antara pengisian yang disampaikan adalah pengenalan kepada takrifan kepimpinan, ciri-ciri pemimpin yang efektif dan aktiviti bercorak kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata, melalui kursus berkenaan, pelajar didedahkan dengan teori dan latihan secara praktikal bagi memberi ruang kepada mereka mengenali potensi diri masing-masing selaku pemimpin pelajar.

Bagi pelajar Maahad Tahfiz Kampung Bandar, Banting, Ahmad Murshed Zakaria, dia bersyukur kerana diberi peluang menyertai kursus tersebut.

“Pengisian program ini sangat memuaskan dan harus dibuka lebih luas lagi kepada semua pelajar madrasah di seluruh negara,” katanya.