Di Malaysia Akta Mediasi 2012 telah diluluskan bagi menjamin kelancaran proses mediasi. Akta ini memperincikan ciri-ciri mediasi yang diiktiraf, namun tiada satu badan khusus ditubuhkan bagi memajukan proses mediasi di Malaysia.

Proses penyelesaian pertikaian selain litigasi mengikut prinsip Syariah dikenali sebagai ‘sulh’ atau ‘wisatoh’ iaitu akad yang menamatkan pertikaian secara sukarela dan reda meredai.

Ini sebagaimana berdasarkan firman Allah maksudnya: “Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara keduanya.” (al-Hujurat: 9)

Firman Allah yang lain maksudnya: “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul daripada suaminya nushuz (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tidaklah salah bagi mereka berdua (suami isteri) membuat perdamaian antara mereka berdua, secara yang sebaik baiknya, kerana perdamaian itu lebih baik bagi mereka berdua daripada bercerai-berai.” (an-Nisaa: 128)

Manakala sempadan hukum syarak dalam pelaksanaan proses sulh turut digariskan dalam hadis Rasulullah maksudnya: “Sulh itu antara kalangan Muslim adalah harus kecuali yang mengharamkan sesuatu perkara halal atau sulh menghalalkan perkara haram.”
 - Riwayat Tirmizi


RUNDINGAN KEKELUARGAAN

Prosedur mediasi boleh digunakan dalam pelbagai konteks terutama hubungan dan masalah kekeluargaan. Oleh itu, Pusat Mediasi Islam (PMI) perlu ditubuhkan kerajaan bertujuan memberi sokongan terhadap sistem kehakiman syariah sedia ada serta alternatif kepada pihak yang ingin menyelesaikan pertelingkahan secara mediasi.

Penubuhan pusat ini akan membantu menyelesaikan kes tertangguh seperti berkaitan nafkah, harta sepencarian dan hadanah atau perubahan perintah berkaitan ketiga-tiga kes tersebut.

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia acapkali membuat kursus asas mediasi dengan kerjasama pelbagai badan kerajaan seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Kehakiman Negeri Terengganu dan Perak, Jabatan Mufti Selangor serta yang terbaru bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia yang dipimpin oleh pakar mediasi dari Australia.

Penulis sendiri diberi lesen mengajar mediasi di Malaysia Brunei dan Indonesia. Baru-baru ini satu kursus mediasi telah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Kedah selama enam hari.

Melalui proses mediasi, pihak bertelingkah mampu mengekalkan silaturahim sesama sendiri, justeru dijalankan dalam keadaan tertutup dan membuka ruang kepada semua pihak untuk bersama menyelesaikan masalah secara hikmah serta santun.

Penubuhan PMI kelak mengambil peranan menyediakan khidmat nasihat mengendalikan proses mediasi bagi pihak bertelingkah berlandaskan prinsip syariah dan khidmat nasihat menyelesaikan pertelingkahan berlandaskan syariah.

Keunikan PMI kelak ialah bakal berupaya menyelesaikan pertikaian yang dibawa ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah. Malah pertikaian yang tidak dibawa ke mahkamah juga boleh dirujuk kepada PMI bagi penyelesaiannya.

PMI boleh menjadi institut pertama yang menawarkan khidmat nasihat serta kepakaran dalam proses mediasi secara Islam selain daripada proses sulh di mahkamah syariah.

kursus latihan

Selain khidmat nasihat dalam mengendalikan proses mediasi secara Islam, PMI juga bakal menyediakan pelbagai fungsi seperti latihan dan akreditasi profesional dalam bidang mediasi.

Kursus, program, latihan dan akreditasi profesional akan meningkatkan kemahiran peserta dalam bidang runding cara serta menguasai kemahiran menjadi pengantara dengan cekap.

Pengantara perlu memahami secara mendalam cara berkomunikasi dengan efektif termasuk mengenai hubungan sesama manusia dan bagaimana merapatkan jurang perbezaan berkomunikasi disebabkan pertikaian yang timbul.

Di persada antarabangsa, Malaysia terkenal sebagai negara yang mengamalkan nilai nilai Islam secara wasatiyah iaitu kesederhanaan (moderation) yang dapat menarik masyarakat antarabangsa khususnya masyarakat Islam untuk menggunakan khidmat nasihat serta kepakaran yang akan ditawarkan oleh PMI.

PMI boleh menjadi satu daripada pakar rujuk dalam perkara berkaitan perundangan Islam dan mampu menjadi organisasi yang memainkan peranan sebagai orang tengah bagi menyelesaikan masalah masyarakat Islam terutama di negara minoriti Muslim.

Penubuhan PMI kelak menjadi penanda aras baharu ke arah mempercepatkan penyelesaian kes-kes mahkamah di samping menyelesaikan pertikaian tanpa perlu ke mahkamah.

PMI juga akan memastikan norma-norma sejagat dalam mediasi yang tidak bertentangan dengan Islam dapat dipraktikkan dalam penyelesaian pertikaian.

Dengan sokongan pelbagai pihak terutama kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat, mudah-mudahan PMI akan memberi manfaat besar kepada negara khususnya umat Islam.