Oleh itu suatu yang membanggakan apabila dewasa ini amalan itu dilihat semakin luas dianjurkan di pejabat termasuk organisasi besar.

Mungkin ada kalangan melihat ia sebagai mengisi masa lapang bagi mengganti waktu makan tengah hari, tetapi jika direnungkan ia lebih daripada itu.

Langkah itu memberi peluang meraih ganjaran Ramadan kepada kalangan mereka yang mungkin tiada kesempatan untuk bertadarus apabila pulang ke rumah masing-masing atas sebab-sebab tertentu.

Justeru, tidak hairan walaupun ada bebanan kerja dan surau pejabat yang hanya mampu menampung sejumlah kecil jemaah tetap tidak menghalang sekumpulan pekerja Islam meneruskan aktiviti tadarus sepanjang bulan mulia ini.

Antaranya sebagaimana dilaksanakan di Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL).

Ketua Unit Hal Ehwal Islam KPBKL, Alif Fahmi Abdullah menyifatkan program itu sebagai dua dalam satu.

“Tadarus di pejabat bertujuan mewujudkan budaya membaca al-Quran dalam kalangan pekerja dan dalam masa sama memberi peluang kepada kita memperoleh ganjaran pahala besar terutama dalam bulan Ramadan,” katanya yang juga pensyarah ketika ditemui di KPBKL, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Walaupun program tadarus al-Quran di KPBKL sudah menjadi acara tetap, tetapi untuk tahun ini Alif Fahmi memberitahu bahawa institusi itu menampilkan pendekatan baharu supaya lebih berkesan.

Kalau sebelum ini peserta tadarus al-Quran membaca berdasarkan surah yang diberikan, tetapi kali ini mereka dibahagikan mengikut ayat-ayat pendek dalam kitab suci itu untuk dibaca.

“Tahun lepas, pembahagian dibuat berdasarkan juzuk tetapi dilihat agak sukar dan kali ini kami gunakan ayat-ayat pendek.

Contohnya al-Baqarah kami tetapkan ayat satu hingga 15 untuk dihabiskan oleh kumpulan tadarus,” katanya.

Beliau berkata, penekanan sedemikian bertujuan mengelakkan para peserta leka atau bosan kerana jika dibaca mengikut juzuk lazimnya memakan masa lama khususnya jika surah panjang.

“Kami bahagikan peserta mengikut kumpulan tertentu dan setiap kumpulan ada ayat-ayat pendek perlu mereka habiskan bacaannya sehingga majlis khatam yang bakal diadakan pada akhir bulan ini.

“Ia bukan dibaca secara solo tetapi setiap ahli kumpulan perlu membaca secara bergilir-gilir supaya apabila ada kesalahan boleh ditegur dan proses itu perlu dilakukan,” katanya.