DALAM tragedi Biru Maunah, sebanyak 70 sahabat Rasulullah SAW yang terdiri daripada para Qurra gugur syahid.
  • Abu Bara’ Amir bin Malik, seorang pembesar Kabilah Bani Amir datang bertemu Rasulullah SAW di Madinah. Baginda menyerunya kepada Islam tetapi beliau enggan. Walaupun begitu, beliau tidak juga menunjukkan penentangan.
  • Abu Bara’ meminta agar Baginda mengutus para pendakwah dalam kalangan sahabat agar berdakwah kepada penduduk Najd dengan harapan mereka menerima Islam.
  •  Rasulullah keberatan kerana bimbangkan keselamatan mereka. Namun, Abu Bara’ menjamin keselamatan para sahabat yang bakal diutuskan.
  • Setelah mendapat jaminan, Baginda menghantar 70 orang sahabatnya yang diketuai al-Munzir bin ‘Amr pada Safar tahun keempat Hijrah.
  •  Rombongan ini dipilih daripada kumpulan sahabat yang alim dan kuat beribadat antaranya, al-Harith bin al-Sammah, Haram bin Milhan (bapa saudara Anas bin Malik) dan Amir bin Fuhayrah (bekas hamba Sayidina Abu Bakar).
  •  Mereka dikenali sebagai rombongan Qurra’ yang sangat tinggi imannya. Mereka ini siangnya bekerja mencari kayu api untuk dijual, hasilnya dibelikan makanan untuk bersedekah kepada penghuni serambi Masjid Nabawi. Mereka juga gemar mendalami al-Quran dan menghidupkan malam.
  •  Selepas berangkat mereka tiba di sebuah tempat yang dikenali sebagai Bi’ru Maunah, terletak antara perkampungan Banu Amir dan Banu Salim. Mereka menghantar Hiram bin Milhan bersama sepucuk surat daripada Rasulullah kepada ketua mereka, Amir bin al-Tufail.
  •  Tanpa melihat isi surat itu, Amir mengarahkan orangnya membunuh Hiram dengan tikaman dari belakang. Apabila Hiram melihat darahnya mengalir deras, beliau berteriak: “Allahuakbar, demi Tuhan Kaabah! Aku telah berjaya (mencapai mati syahid).”
  •  Amir kemudiannya menghasut kaumnya untuk membunuh baki para sahabat nabi yang masih hidup. Mereka menolak kerana rombongan para sahabat itu sudah dijamin perlindungannya oleh Abu Bara’.
  •  Dia tidak berputus asa, lalu meminta Bani Salim membantunya membunuh para sahabat nabi. Setelah itu, puak ‘Usayyah, Ri’al dan Dhakwan mengepung dan membunuh para sahabat Rasulullah.
  •  Para sahabat memberikan penentangan, namun akhirnya gugur syahid. Hanya Ka’ab bin Zayd terselamat kerana tersembunyi di bawah jenazah para sahabatnya. Beliau kemudiannya hidup sehingga peristiwa perang al-Khandaq.

Rasulullah SAW sangat sedih atas kehilangan para sahabatnya dalam tragedi itu. Berikutan itu, Baginda bangun berdoa buruk kepada pihak musuh.

Ia diriwayatkan sebuah hadis:

“Anas bin Malik r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW berdoa buruk ke atas para pembunuh sahabatnya dalam peristiwa Bi’ru Ma’unah selama 30 pagi. Doa ke atas (mereka, iaitu) kabilah Ri’l, Dhakwan dan ‘Usayyah (dilakukan kerana) mereka menderhaka Allah dan Rasul-Nya. Ada ayat al-Quran diturunkan berkaitan mereka yang mana kami membacanya beberapa ketika sehinggalah ia dinasakhkan (dipadam Allah daripada mushaf). Ayat tersebut bermaksud “Sampaikan pada kaum kami bahawa kami sudah menemui Tuhan Kami, maka Dia reda kepada kami dan kami juga reda terhadapnya,” - Sahih Bukhari.


KENAPA TIDAK DIBIMBING WAHYU?

Ketika meneliti kisah ini, mungkin ada bertanya mengapa Rasulullah SAW yang biasa dibimbing wahyu boleh terlepas pandang bahaya bakal menimpa sahabatnya itu?

Perlu ditegaskan, Rasulullah SAW bukan ‘superhuman’ yang kononnya mengetahui semua perkara. Baginda adalah manusia biasa yang mempunyai kelemahan. Baginda sakit, lupa, sedih dan tidak tahu yang ghaib.

Apa membezakan Rasulullah dengan manusia lain adalah wahyu Ilahi yang disampaikan kepada Baginda: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu,” (al-Kahf [18:110]).

Jika ada situasi yang menunjukkan Rasulullah SAW tahu perkara ghaib, itu bermakna Baginda dibuka pintu ghaib oleh Allah hanya dalam sesetengah keadaan.

Ia dijelaskan al-Quran:

“Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun, melainkan kepada mana-mana rasul yang diredai-Nya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian)…,” (al-Jinn [72:26-27]).

Dalam banyak nas, jelas menunjukkan Baginda adalah manusia biasa yang tidak tahu perkara ghaib, antaranya:

“Katakanlah: Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang yang beriman,” (al-A’raf [7:188]).

Dalam sebuah hadis, Ummul Mukminin Aishah r.a. menyebut: “Sesiapa yang ingat Rasulullah SAW tahu apa yang akan terjadi esok, maka orang itu sebenarnya telah mengadakan suatu kebohongan besar terhadap Allah (kerana) Allah berfirman: “Katakan: Tiada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui apa yang ghaib (tersembunyi), melainkan Allah,” (Naml[27:65]) (Sahih Muslim).

PEDOMAN


Selepas ini jika kita bertemu sesiapa yang berani mendakwa tahu mengenai perkara ghaib, ingatlah dengan tegas bahawa itu adalah suatu tanda pembohongan! Si pendakwa pasti ada agenda tersembunyi yang bakal memangsakan kita. Jangan pula kita ditipunya. Hiduplah dalam kompas wahyu dan akal kurniaan Allah, Insya-Allah 
anda pasti selamat!

  •  Bi’ru Maunah