Mungkin, ada yang menyaksikan pertandingan Tilawah al-Quran menganggap menjadi qari atau qariah adalah perkara mudah. Malah, ada yang berkata, ‘bukan susah pun, baca sajalah ayat-ayat al-Quran yang telah tertera dalam naskhah suci tersebut’.

Namun, tugasan sebagai qari atau qariah tidak semudah itu kerana debaran berada di pentas sambil disaksikan ribuan manusia sama ada dalam dewan atau menerusi tayangan televisyen secara langsung tetap menjadi satu ‘fenomena’ yang mendebarkan.

Biarpun telah lama berkecimpung dan mempunyai pengalaman luas membaca al-Quran dalam majlis-majlis kebesaran, anak kelahiran Merbok, Kedah, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad tetap berasa gementar tatkala berada di pentas bagi memperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran semasa Pertandingan Tilawah berlangsung.

Pensyarah Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Peradaban Islam (FPPI) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) itu berkata, debaran dan tekanan tetap ada dalam dirinya terutama bagi memastikan alunan suara dan bacaan sempurna dapat dipersembahkan kepada orang ramai serta barisan juri.

“Situasi seakan menjadi lebih sukar apabila bertanding dalam negara atau laman sendiri. Tekanan seakan lebih memuncak kerana kita secara kebiasaannya akan sedaya upaya memberikan satu persembahan terbaik dan berusaha muncul sebagai pemenang.

“Maka perkara tersebut sedikit sebanyak memberi tekanan kepada kita sebagai qari yang mewakili negara di peringkat antarabangsa. Namun semua ini satu cabaran yang indah untuk ditempuhi, sekaligus menjadi pengalaman berharga untuk dikenang dalam diri sendiri,” katanya.

Kejayaan muncul sebagai johan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran (MTHQ) Peringkat Kebangsaan pada 2017 melayakkannya mewakili negara dalam MTHQ peringkat antarabangsa pada tahun sama di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Namun kesilapan kecil iaitu terlupa menarik nafas dengan betul menyebabkannya tidak dapat mengalunkan ayat suci al-Quran dengan baik, sekaligus menyaksikan dia sekadar berada di tempat ketiga dengan pungutan mata sebanyak 89.3 di belakang pemenang pertama dari Iran yang mengutip mata sebanyak 89.6 dan peserta Brunei di tempat kedua dengan 89.5 mata.

PERSEDIAAN MENTAL, FIZIKAL

Mengulas lanjut, Wan Fakhrul berkata, persediaan fizikal dan mental perlu dimantapkan sebelum menyertai mana-mana pertandingan, sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Katanya yang pernah mewakili negara pada Pertandingan Tilawah di Palembang, Indonesia pada 2014, tekanan beraksi di peringkat antarabangsa juga tinggi, malah memerlukan persediaan rapi dan pemantauan petugas daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang berusaha memastikan prestasi bacaan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

“Sebelum menyertai pertandingan peringkat antarabangsa, saya perlu menjalani latihan bersama petugas Jakim sekurang-kurangnya selama dua minggu bagi memantapkan bacaan.

“Dalam tempoh ini, saya akan ‘dikurung’ bagi menjalani latihan intensif. Alhamdulillah, semua ini dilakukan bagi memastikan keupayaan bacaan saya dapat dipertingkatkan,” katanya yang pernah bergelar johan Qari Tilawah Al-Quran Antara Universiti Peringkat Kebangsaan pada 2012.

Beliau yang juga pernah mewakili Malaysia dalam Pertandingan Tilawah al-Quran di Iran berkata, tekanan dihadapi kadang kala menyebabkan dia tidak berselera untuk makan kerana terlalu memikirkan pertandingan dan berusaha melakukan yang terbaik setelah diberi kepercayaan untuk mewakili negara.

Jelasnya, apa yang sering dilakukannya semasa hari pertandingan, dia akan cuba untuk ‘mengosongkan minda’ dan memberi tumpuan penuh kepada surah yang bakal diperdengarkan.

Ditanya mengenai pembabitannya dalam pertandingan tilawah al-Quran, Wan Fakhrul berkata, dia menyertai pertandingan tersebut sejak dari bangku sekolah rendah dan pernah merangkul kejuaraan Tilawah al-Quran Piala Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia, Peringkat Negeri Kedah ketika berusia 12 tahun.

Bagi memantapkan bacaan al-Quran, Wan Fakhrul berkata, dia mengambil kesempatan semasa menuntut di Pondok Sungai Durian, Kuala Krai dan Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan dengan mencari guru-guru taranum yang hebat seperti Abdul Rahim Ahmad, Yahya Daud dan Faridah Mat Saman, selain Datuk Nik Jaafar Nik Ismail yang merupakan juri tilawah al-Quran peringkat antarabangsa.

AL-QURAN BAWA JELAJAH DUNIA

Sementara itu katanya, antara pengalaman manis tidak boleh dilupakan apabila diberi peluang mewakili Malaysia dalam pertandingan Tilawah al-Quran Negara-Negara Islam di Damsyik, Syria pada 1999.

Katanya, ketika itu dia masih menuntut di Universiti Abu An-Nur, Damsyik dalam jurusan Bahasa Arab dan Pengajian Islam di peringkat Ijazah.

Jelasnya, bukan sahaja tidak perlu membayar yuran penyertaan, malah dia turut menerima token penghargaan.

Menerusi pertandingan itu, siapa sangka, dia berjaya mendapat tempat kedua selepas tewas oleh peserta dari Iran.

“Lebih menarik, pertandingan tersebut dibuat secara langsung menerusi stesen televisyen rasmi Syria. Selepas pertandingan itu, saya dipanggil untuk sesi rakaman dan bacaan al-Quran yang saya bacakan untuk dijadikan slot pembukaan pada setiap kali stesen televisyen itu memulakan rancangan.

“Selain itu, saya juga dipanggil untuk membacakan ayat-ayat suci al-Quran semasa penganjuran majlis-majlis kebesaran Islam di negara tersebut. Pengiktirafan yang diberikan itu adalah satu penghormatan buat diri ini,” katanya.

Tambahnya, kesempatan berada di bumi Syam itu turut digunakan untuk melakukan talaqi kitab fiqh bersama ulama besar, Prof. Dr. Wahbah Al-Zuhaily di Masjid Osman atau turut dikenali dengan Masjid al-Kuwaitiy.

Menurutnya, sebelum majlis talaqi kitab fiqh itu bermula, dia akan dipanggil oleh ulama besar tersebut untuk membacakan ayat-ayat suci al-Quran dan kenangan manis tersebut masih tersimpan erat di dalam memori ingatannya.

“Saya juga sering diminta untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran dalam kelas tafsir mingguan yang dikendalikan oleh Syeikh Dr. Ratib al-Nablusy di Masjid Al-Nablusy, Damsyik. Lokasi pengajian tersebut tidak jauh dari rumah sewa saya,” katanya mengakhiri perbualan.