Majlis yang akan berlangsung selama enam hari bermula 15 April ini itu bakal disertai 106 peserta dari 70 negara termasuk dari negara bukan Islam seperti Kanada, Rusia dan New Zealand.

Program tahunan itu yang memasuki edisi ke-61 turut menyaksikan penyertaan sulung peserta dari tujuh buah negara iaitu Azerbaijan, Montenegro, Sweden, Norway, Austria, Kenya dan Ivory Coast.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof memberitahu, majlis kali ini akan membawa tema ‘Me­nyantuni Umat Membawa Rahmat’ bertepatan dengan usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menerapkan tiga teras utama dalam pentadbiran iaitu Rahmatan Lil Alamiin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia.

Jelas beliau, kesemua 106 orang peserta itu akan melalui peringkat saringan sebelum 38 orang akan bersaing di peringkat akhir bagi tilawah dan 36 orang bagi kategori hafazan.

“Penganjuran majlis ini me­ru­pakan usaha berterusan kerajaan meningkatkan syiar Islam sebagai rahmat bagi sekalian alam selain komited menerapkan budaya membaca al-Quran dan memahami intipatinya,” katanya dalam sidang akhbar prapelancaran majlis tersebut di sini hari ini.

Tambah Mujahid, jawatankuasa Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 dengan kerjasama rakan penaja juga membuat keputusan untuk menyediakan pelbagai hadiah menarik kepada pemenang.

Katanya, johan qari dan qariah tilawah akan meneri­ma kepingan emas bernilai RM70,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), wang tunai RM40,000 dan piala iringan.

“Johan hafiz dan hafizah bagi kategori hafazan pula akan membawa pulang kepingan emas bernilai RM70,000 sumbangan Yapeim, wang tunai RM25,000 dan piala iringan.

“Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah pula akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim menjelaskan, lokasi baharu itu dipilih berdasarkan faktor kemudahan bertaraf antarabangsa yang ter­dapat di pusat konvensyen berkenaan.

“Antaranya kemudahan ber­prestij termasuk keluasan dewan yang boleh memuatkan sehingga 5,000 orang di samping akses mudah kepada masyarakat untuk hadir,” katanya.