Jawapan:

Sebelum pergi lebih jauh berkenaan pembahagian ikhtilaf, lebih baik kita memahami definisi ikhtilaf terlebih dahulu.

Menurut Ibn Manzhur, ikhtilaf adalah suatu yang saling bercanggah dan tiada kesepakatan. Dalam kitab para ulama, terdapat juga penggunaan perkataan lain selain daripada ikhtilaf iaitu khilaf. Ia sebagaimana disebutkan oleh al-Fairuz Abadi: “Menyelisihkan seseorang pada sesuatu perkara iaitu bercanggah dengannya.’ - Rujuk al-Qamus al-Muhith, al-Fairuz Abadi (1/251)

Sebahagian ulama cuba memberikan definisi berbeza antara perkataan khilaf dan ikhtilaf. Antaranya, Syeikh Ayyub bin Musa al-Husaini dalam kitabnya al-Kulliyyaat: “Ikhtilaf adalah sesuatu yang bersandarkan kepada dalil, manakala khilaf adalah sesuatu yang tidak bersandarkan kepada dalil.” - Rujuk al-Kulliyyaat (Halaman 61)

Begitu juga pendapat Dr. Salim bin ‘Ali al-Thaqafi bahawa fuqaha kadangkala menggunakan perkataan khilaf kepada perselisihan yang berlaku antara mazhab dan juga dalam firqah (kelompok pemikiran) tertentu. Ikhtilaf pula adalah perselisihan berlaku antara ashab mazhab yang satu. - Lihat Salim bin ‘Ali al-Thaqafi, Asbab Ikhtilaf al-Fuqaha (Halaman 18-19)

Bagaimanapun, kami lebih cenderung mengatakan bahawa tiada perbezaan ketara antara khilaf dan ikhtilaf, bahkan beberapa pendapat yang membezakan antara kedua-duanya hanya sekitar isu istilah sahaja.

KATEGORI IKHTILAF

Terlebih dahulu, perlu diperjelas bahawa pembahagian ikhtilaf yang terpuji dan tercela ini hanyalah dalam perkara fikah atau dalam kata lainnya adalah al-Ikhtilaf al-Fiqhi.

IKHTILAF TERPUJI

Disebutkan juga bahawa ikhtilaf terpuji ini adalah Ikhtilaf al-Saigh (perselisihan yang diterima). Perselisihan seperti ini terbahagi kepada dua bahagian:

1. Ikhtilaf Tanawwu’

Perbezaan yang berlaku pada pendapat fikah dari sudut jenis yang tidak bercanggah dan tidak menafikan antara satu sama lain, iaitu kesemua pendapat fikah itu berada dalam jenis sama dan tidak bercanggah.

Ikhtilaf ini berlaku disebabkan terdapatnya dalil terhadap sesuatu jenis daripada ibadah. Seorang itu kadangkala beramal dengan satu dalil dalam ibadah tersebut dan kadangkala beramal dengan dalil lain berkenaan ibadah yang sama.

Sebagai contoh, dalil yang banyak berkenaan sifat istiftah (bacaan doa iftitah dalam solat). Demikianlah juga perbezaan yang berlaku dalam bacaan-bacaan ketika rukuk dan sujud. Ini kerana, terdapat pelbagai riwayat yang menyatakan beberapa bacaan dan lafaz berlainan untuk dibaca semasa sujud serta rukuk.

2. Ikhtilaf Tadhaadh

Ikhtilaf tadhaadh juga termasuk dalam kategori al-Ikhtilaaf al-Saaigh. Definisinya adalah ikhtilaf yang berlaku pada pendapat-pendapat fikah yang saling bercanggah dan berbeza antara satu sama lain.

Ikhtilaf ini berlaku pada permasalahan fikah yang sabit dengan dalil sahih, tetapi dalalahnya adalah zhanni (boleh ditakwil) dan bukannya qathie (pasti).

Contohnya perbezaan pendapat para fuqaha daripada firman Allah maksudnya: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu ingin mengerjakan solat, maka basuhlah wajah-wajah kamu, dan tangan-tangan kamu sehingga ke siku. Dan sapulah kepala-kepala kamu dan (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga ke buku lali.” (Al-Maaidah: 6)

Berdasarkan ayat ini, ia adalah ayat yang sahih dan disebut secara qathie (qath’iyyah al-Thubut). Sebahagian fuqaha berpendapat, bahawa perlu disapu adalah keseluruhan kepala, manakala sebahagian yang lain pula berpendapat, disapu adalah separuh kepala.

Ada juga menyatakan bahawa yang disapu adalah satu perempat kepala, manakala pendapat di sisi mazhab Imam Al-Syafie pula adalah serendah-rendah apa yang berlaku padanya nama sapuan, maka itu sudah memadai.

Maka perbezaan pendapat yang berlaku di sisi fuqaha dalam isu-isu seumpama ini dinamakan sebagai Ikhtilaaf al-Tadhaadh dan dibenarkan dalam syarak. Selama mana khilaf itu berlaku pada nas-nas sahih dan dalalahnya adalah zhanni.

IKHTILAF TERCELA (AL-MAZMUM)

Secara asasnya, ikhtilaf tercela berlaku dalam permasalahan fikah. Yang menjadikannya sebagai perselisihan yang tercela adalah pada dua keadaan:

1. Sabit dengan dalil sahih lagi Qathi’yyah al-Dalalah

Contohnya firman Allah maksudnya: “Dan dirikanlah solat serta tunaikanlah zakat.” (al-Baqarah :43)

Ayat di atas berkaitan dengan isu fikah, iaitu solat yang merupakan perbuatan dituntut kepada setiap mukalaf. Dalil di atas adalah qathie dari sudut kesabitannya dan juga qathie dari sudut dalalah.

Ini kerana, yang difahami daripada dalil tersebut hanyalah makna yang satu iaitu kewajipan solat dan kewajipan menunaikan zakat. Maka jika ada mana-mana individu mendakwa bahawa solat dan zakat itu tidak wajib, maka perbezaan ini adalah tercela dan tidak dibenarkan.

2. Setiap permasalahan fikah yang berlaku ijmak padanya

Contohnya ijmak para ulama bahawa rukuk itu wajib dalam solat bagi sesiapa yang berkemampuan untuk melakukannya. Ini dinyatakan oleh Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Mughni (1/495).

Jika seseorang mendakwa bahawa rukuk tidak wajib bagi siapa yang mampu melakukannya, sebaliknya sunat sahaja maka kenyataannya ini dikategorikan sebagai ikhtilaf al-Mazmum kerana menyalahi ijmak ulama.