Jika ekonomi merudum pastinya yang menerima kesan adalah golongan asnaf dan sudah tentu pelbagai bantuan serta kemudahan diterima sebelum ini akan tersekat. Besar kemungkinan golongan kurang berkemampuan ini bakal terjerumus sebagai peminta sedekah atau gelandangan.

Menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang baru pada 1 Januari lalu, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee menyifatkan langkah memastikan dana zakat sentiasa mencukupi sebagai satu usaha yang tidak boleh gagal.

SYED HUSSEIN ALHABSHEE
SYED HUSSEIN ALHABSHEE 

Ikuti wawancara wartawan Mega Mimbar, Utusan Malaysia bersama beliau bagi berkongsi strategi dan langkah diambil dalam memastikan dana zakat sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan asnaf di sekitar ibu kota yang semakin bertambah.

Mimbar: Mengapa MAIWP tidak lagi boleh bergantung kepada zakat?

Syed Hussien: Selepas watikah pelantikan sebagai pengerusi MAIWP baharu, saya telah melakarkan agensi ini tidak boleh lagi mengharapkan 100 peratus sumbangan zakat.

Sumber penyumbang kepada zakat adalah individu dan syarikat perniagaan. Walaupun menunaikan zakat adalah Rukun Iman, tetapi kita kena ingat kedua-dua entiti itu sentiasa terkesan terhadap keadaan ekonomi semasa.

Sekiranya datang kegawatan atau kelembapan ekonomi, ini sudah pasti menjejaskan pendapatan tahunan sesebuah syarikat dan dalam masa sama jumlah mereka yang tergolong sebagai asnaf akan mengalami peningkatan.

Tetapi tidakkah jumlah kutipan zakat meningkat setiap tahun?

Syed Hussien: Saya akui setakat ini jumlah kutipan zakat oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP memang cemerlang. Tahun lalu sahaja jumlahnya RM561 juta dan begitu juga agihannya kepada 22,000 asnaf yang layak.

Cuma, apa yang saya fikirkan adalah sudahkah kita bersedia berdepan dengan situasi jika jumlah pungutan itu berkurangan dan adanya peningkatan mendadak jumlah asnaf?

Kita kena bersedia dari sekarang dan antara usahanya adalah MAIWP melalui anak syarikatnya perlu meneroka dan aktif dalam bidang perniagaan tertentu.

Kalau sudah ada keyakinan kenapa perlu berniaga?

Syed Hussien: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof ada menyasarkan kutipan mesti mencecah RM1 bilion menjelang 2023 dan berdasarkan prestasi PPZ-MAIWP setakat ini, sasaran itu boleh dicapai.

Tetapi, jika kami ada sumber lain seperti yang saya cadangkan ini, sasaran tersebut boleh dicapai lebih awal.

Kembangkan perniagaan
 

Apakah perniagaan yang sesuai?
Syed Hussien:
Kami sudah ada satu anak syarikat yang berpotensi iaitu MAIWP Dagang Sdn. Bhd. (MAIWP Dagang). Saya mahu lihat syarikat tersebut pergi ke peringkat luar negara dengan menjadi pembekal kepada barangan keperluan. 

Apa yang saya fikirkan setakat ini adalah sebagai antara pengimport beras dan bawang negara.

Saya tidak fikir pihak kerajaan ada mempunyai masalah untuk memberikan kelulusan permit AP import. Saya difahamkan tidak ada lagi sistem monopoli (beras).

Sebab kami buat ini adalah untuk menyantuni golongan asnaf di negara ini, dan bukannya bermatlamat keuntungan semata-mata. Insya-Allah, kami akan adakan perbincangan dengan kementerian yang berkenaan tidak lama lagi.

Tidakkah ia berisiko?
Syed Hussien:
Tidak ada risiko kerana kedua-dua barangan itu sentiasa diperlukan oleh rakyat negara ini termasuk pengusaha kedai makan.

MAIWP Dagang juga mempunyai rangkaian kedai runcit iaitu dua buah di Putrajaya dan sebuah di Tasik Permaisuri yang boleh menjual dua barangan tersebut.

Satu lagi, tagline kedai runcit itu iaitu ‘membeli sambil menyumbang’ pasti memberi kesan positif dalam usaha meningkatkan jualan. Kami juga merancang membuka lebih banyak cawangan sekitar Wilayah Persekutuan. 

Untuk kali ini, cawangan baru akan dibuka di premis komersial yang dikenal pasti berpotensi.

Bagaimana dengan perkhidmatan kesihatan?
Syed Hussien:
Kami juga akan memantapkan lagi bidang kesihatan melalui anak syarikat iaitu MAIWP Healthcare Sdn. Bhd. (MAIWP Healthcare) atau dulu dikenali sebagai Klinik Pusrawi.

MAIWP Healthcare ada tiga klinik dan setakat ini berjaya menjana keuntungan sebanyak RM3 juta setahun. Tetapi apa yang saya inginkan adalah menaik taraf mutu perkhidmatan perubatan dan rawatan.

Ini kerana, saya percaya walaupun ekonomi merudum, orang ramai tetap memerlukan klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit mereka.

Kami juga ada Pusat Rawatan Islam (Hospital Pusrawi) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Tetapi, saya melihat ia perlu dijenamakan semula dengan nama MAIWP Medical Centre (MMC).

Ini bagi mengelakkan wujudnya tanggapan negatif segelintir masyarakat umum yang mengaitkannya dengan amalan jampi dan tidak melibatkan rawatan perubatan moden.

Satu lagi, saya mahu MMC turut setaraf dengan pusat rawatan lain dari segi rawatan dan peralatan perubatan moden. Malah, ia juga mampu menarik golongan bukan Islam.


Persepsi negatif

Perancangan ini perlukan tenaga pakar luar bidang agama?
Syed Hussien:
Saya akui akan ada perubahan pada barisan pimpinan khususnya di MAIWP Dagang kerana orang yang akan dilantik untuk menjalankan aktiviti perdagangan itu hendaklah mempunyai kepakaran dan pengalaman.

Kami akan bawa mereka masuk untuk menerajui dan membimbing agar usaha kami  meneroka bidang perniagaan itu berperoleh keuntungan yang disasarkan.

Benarkah perancangan itu menjadikan MAIWP satu entiti komersial ?
Syed Hussien:
Saya percaya fungsi MAIWP tidak akan berubah, cuma apa yang perlu diubah adalah pendekatan MAIWP untuk memastikan tabung asnaf tidak akan terjejas.

Dalam konteks hari ini, MAIWP perlu menceburi bidang perniagaan supaya  melaluinya kami dapat menjana pertambahan pendapatan. Ia bukan untuk tujuan komersial tetapi bagi menambah dana tabung asnaf.

Adakah ia satu hakikat masa kini?
Syed Hussien:
Kami tidak boleh lagi berharap kepada zakat, wakaf atau sedekah kerana ia banyak bergantung kepada keadaan ekonomi negara sedangkan keperluan asnaf tidak boleh dihentikan. 

Mereka perlukan dana zakat untuk meneruskan kelangsungan hidup seharian. Tidak kiralah yang berstatus kurang upaya, berniaga, belajar dan lain-lain keperluan.

Jadi, saya fikir kami kena pelbagaikan sumber dana supaya kebajikan asnaf tidak terjejas. Saya fikir masyarakat tidak seharusnya melihat matlamat ini sebagai suatu trend negatif kerana ia untuk asnaf semata-mata.