Namun, setiap wajah itu ada 1,001 cerita yang dapat dijadikan panduan dan iktibar buat rakyat di Malaysia termasuk saya.

Peluang mengikuti misi bantuan kemanusiaan bersama 23 krew Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) daripada 22 Skuadron itu, saya gunakan sebaik mungkin untuk mengetahui dugaan yang ditempuhi mereka secara lebih dekat.

BEBERAPA sukarelawan mengangkat barangan dari pesawat A400M.

BEBERAPA sukarelawan mengangkat barangan dari pesawat A400M.

Perjalanan bermula dari Pangkalan Udara Subang ke Jakarta, Indonesia mengambil masa lebih dua jam sebelum ke Balik Papan. Misi ke Palu bermula beberapa hari berikutnya selepas mendapat lampu hijau daripada kerajaan negara terbabit.

Sebelum tiba di sana, saya hanya gambarkan perasaan sedih dan tekanan serta emosi yang tidak stabil dalam kalangan mangsa di sana. Tetapi, perkara sebaliknya berlaku ketika berdepan dengan mereka secara realiti.

PENDUDUK menunggu di Lapangan Terbang Mutiara Sis Al Jufri untuk

PENDUDUK menunggu di Lapangan Terbang Mutiara Sis Al Jufri untuk dibawa ke tempat lain yang lebih selamat.

Sabar, syukur dan tabah. Itulah tiga perkataan yang sering disebut oleh semua mangsa. Walaupun lebih seminggu telah berlalu sewaktu mereka ditemui, rata-rata masih senyum dan menyambut baik kedatangan saya bersama krew pesawat A400M.

Ada satu ketika, saya menemui seorang mangsa terselamat, Sul Agi, 30, yang telah menunggu lebih seminggu di pintu pagar Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri, Palu untuk dibawa ke Makassar. Dia tenang ketika diminta menceritakan detik ngeri itu.

Dia juga mahu melupakan terus peristiwa berkenaan yang meragut nyawa rakan-rakannya dan tidak mahu menoleh ke belakang lagi serta ingin memulakan kehidupan baharu.

MENARA kawalan trafik udara di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al

MENARA kawalan trafik udara di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al Jufri turut rosak.

“Mengapa mahu fikirkan benda yang telah berlaku sedangkan kita ada masa untuk bangkit kembali. Berapa lama lagi kita harus bersedih?” katanya.

Saya sempat bertanya soalan hampir sama kepada mangsa kedua, Sofaiti Saidi, 60, yang turut berada di lapangan terbang berkenaan.

Katanya, ketika kejadian, dia sedang bersiap untuk menunaikan solat maghrib bersama keluarganya dan sempat melihat sendiri rumah dibawa arus lumpur sehingga 100 meter.

Dia juga mendapat tahu dua sepupu dan anak saudaranya terkorban dalam kejadian 28 September lalu itu. Tiada langsung keluhan atau rungutan, jauh sekali menyalahkan takdir Tuhan.

“Saya bersyukur kerana tiga mayat keluarga rapat dijumpai dan selamat dikebumikan. Itu yang lebih penting. Banyak lagi mangsa yang mengalami nasib lebih teruk daripada saya.

“Cuma, saya berharap Allah SWT memberi keampunan kepada kami sama ada yang terselamat dan telah mati,” jelasnya.

Saya melihat keadaan di kawasan sekitar lapangan terbang berkenaan agak daif dan tidak terurus disebabkan bencana. Apa yang diharapkan mereka sementara menunggu giliran untuk dibawa dengan pesawat tentera ke tempat lain hanyalah sedikit makanan.

Keadaan bertambah sedih selepas mengetahui nasib rata-rata daripada mereka di lapangan terbang tersebut samar terutama bagi golongan lelaki. Semuanya bergantung kepada kekosongan pesawat. Belum tentu ada sinar untuk esok.

Malah, seminggu menunggu adalah perkara biasa kerana keutamaan diberikan kepada wanita dan kanak-kanak atau orang tua.

Apa yang difahamkan gempa bumi berukuran 7.4 skala Ritcher dan tsunami yang melanda Palu serta Donggala itu menyebabkan sejumlah 30,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan 1.5 juta menerima kesan agak teruk.

Mungkin simpati atau pelbagai sumbangan telah diberikan kepada semua mangsa ini. Tetapi sejauh mana pengajaran atau dari sudut manakah yang boleh kita ambil iktibar daripada kejadian tersebut?

Dalam pada itu, TUDM sendiri telah membantu pihak Indonesia menyalurkan bantuan ke Palu dengan menggunakan pesawat pengangkut A400M sepanjang misi lapan hari berkenaan.

Misi tersebut bermula pada 3 sehingga 10 Oktober lalu secara keseluruhannya berjaya dan turut memberi manfaat kepada TUDM dalam aspek operasi bantuan serta pengalaman baharu buat mereka.