Manusia yang tidak dibimbing agama mudah ditipu syaitan dengan berbagai kepercayaan karut. Antara kepercayaan purba yang menular subur sehingga zaman ini adalah kepercayaan kuasa bintang dalam ramalan nasib manusia, yang dikenali sebagai astrologi atau horoskop.

Kepercayaan ini sudah wujud sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. lagi sehingga menjadi satu fokus Baginda menghapuskannya dengan logik hebat Baginda:

“Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.

“Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, dia berkata: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya jadilah aku daripada kaum yang sesat”.

“Kemudian apabila dia melihat matahari terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) daripada apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).”

“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku daripada orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain),” (al-An’am 6:76-79).


BUKTI JELAS

1. Allah adalah Tuhan Maha Kuasa yang mencipta dan mentadbir alam tanpa bantuan sesiapa:

”Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantu-Ku mencipta langit dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan sesetengahnya untuk menciptakan sesetengahnya yang lain; dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu,” (al-Kahfi 18:51).

2. Usahkan bintang atau objek langit, para malaikat yang memang ditugaskan Allah dengan berbagai tugasan pun tidak mampu bertindak melebihi arahan Allah, apatah lagi berkongsi kuasa menentukan takdir makhluk di alam ini:

“Dan (malaikat berkata): “Kami tidak turun dari semasa ke semasa melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad); Dialah jua yang menguasai dan mentadbirkan apa yang di hadapan kita dan apa yang di belakang kita serta apa yang di antara itu; dan tiadalah Tuhanmu itu lupa,” (Maryam 19:64).

3. Sebenarnya semua objek langit yang disembah dan dianggap punyai kuasa penentu takdir oleh sesetengah manusia jahil, tidak bersalah. Yang salah adalah manusia yang memuja mereka atas buah fikiran sesat yang diinspirasikan syaitan. Mereka sendiri sangat patuh kepada sistem aturan Allah:

“Tidakkah engkau tahu bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah (patuh segala sistem alam ciptaan Allah) dan (di antaranya termasuklah) matahari, bulan, bintang, gunung-ganang, pokok kayu, binatang, serta sebahagian besar daripada manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah, maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkan-Nya,” (al-Hajj 22:18).

4. Menurut al-Quran objek langit bukan penentu takdir alam tetapi punyai fungsi tertentu untuk kemudahan manusia. Fungsi mereka ini kemudiannya diolah dengan kajian manusia menjadi ilmu astronomi atau ilmu falak:

“Dan Dialah yang menjadikan bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang yang mengetahui,” (al-An’am 6:97).

“Dan demi sesungguhnya! Kami hiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang, dan Kami jadikan bintang itu punca rejaman terhadap syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang,” (al-Mulk 67:5).

5. Ketika mengulas ayat ini, seorang murid sahabat bernama Qatadah berkata, semua bintang (di langit) dicipta untuk tiga fungsi iaitu perhiasan dada langit, perejam syaitan (yang cuba mencuri berita langit) dan petunjuk arah (bagi orang musafir malam). Sesiapa yang cuba memahami fungsi bintang selain daripada tiga perkara ini, dia sebenarnya tersilap, mensia-siakan hidupnya dan berpegang kepada sesuatu yang tiada asas ilmu padanya (Sahih al-Bukhari).

6. Teguran tegas berkaitan kesilapan meletakkan ‘kuasa pada bintang’ pernah disampaikan oleh Rasulullah SAW sesudah Baginda selesai solat subuh di Hudaybiah. Ketika itu hujan malam baru turun. Sabda Baginda:

“Tahukah kalian apa yang diucapkan Tuhanmu?” Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Nabi menyambung: “Tuhan berfirman, ada hamba-Ku yang berpagi hari beriman dan ada juga yang kufur kepada-Ku. Sesiapa yang kata ‘kami memperolehi hujan kerana kurniaan serta rahmat Allah, maka dia beriman kepada-Ku dan engkar pada (kepercayaan kuasa) bintang. Manakala sesiapa yang kata ‘kami beroleh hujan kerana kemunculan bintang ini dan itu’, maka dia sudah kufur kepada-Ku dan beriman kepada bintang,” - Sahih Muslim dan Sunan Abu Dawud.

Ini bukti mudah betapa Islam adalah agama benar lagi saintifik. Umat Islam disaran mengkaji alam untuk kegunaan mereka serta punca iman kepada Allah dan bukannya menjadi bodoh dengan menyembah makhluk lain ciptaan Allah.