Ingatan itu dikuatkan lagi apabila ia turut diraikan oleh rangkaian media massa dan gedung membeli-belah, termasuk rangkaian jualan dalam talian.

Mereka berlumba-lumba menawarkan pelbagai jenis produk yang sesuai dijadikan hadiah bernilai. Tidak hairanlah, ia menjadi suatu perayaan yang paling diminati dan sentiasa ditunggu-tunggu untuk diraikan bersama kekasih, khususnya dalam kalangan golongan muda dan remaja.

Fenomena itu turut melanda umat Islam. Mereka turut meraikan tarikh 14 Februari setiap tahun bersama pasangan masing-masing dalam suasana yang terang-terangan melanggar batas agama.

Dalam meraikan perayaan tersebut, ungkapan To be my Valentine yang dikatakan bagi menzahirkan kecintaan itu adalah jelas melanggar akidah kita sebagai umat Islam.

Satu artikel yang dipetik dalam laman web rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal daripada bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat dan Yang Maha Kuasa”.

Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi.

Sedar atau tidak, menurut Sweiger, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi To be my Valentine, maka sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan akidah, sekali gus mengundang kemurkaan Allah SWT.

Apa tidaknya, ini kerana ia telah meminta orang tersebut menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.

Walaupun sehingga kini ahli sejarah masih tidak mempunyai kata sepakat apakah peristiwa sebenar yang menjadikan perayaan berkenaan terus diingati.

Namun tegas pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Lukmanul Hakim Hanafi, terdapat dua pendapat yang mempunyai kaitan langsung dengan agama Islam.

“Kedua-duanya perlu didedahkan kepada generasi muda atau remaja Islam hari ini supaya mereka mengetahui mengapa perayaan tersebut perlu dijauhi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini.

Malah jelas Ahli Panel Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad) itu lagi, tarikh Hari Kekasih itu ada kaitan dengan kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol.

Pengumuman tarikh terbabit dikatakan telah dibuat oleh salah seorang yang memainkan peranan penting dalam usaha itu iaitu St. Valentine.

Dia melakukan demikian kerana menyifatkan tumbangnya kerajaan Islam sebagai berakhirnya era kezaliman dan kekejaman yang kononnya menjadi polisi pemerintahan kerajaan Islam pada masa itu.

“Ini merupakan satu peristiwa tragis untuk umat Islam. Tetapi, lebih malang kita menyambutnya dalam suasana keseronokan,” katanya.

Bagi pendapat kedua pula membabitkan peristiwa yang dikatakan berlaku semasa empayar Rom diperintah oleh keturunan Romawi Kuno pada 270 Masihi.

Pemerintahan kejam dan zalim yang dilaksanakan oleh keturunan itu telah menerima tentangan daripada seorang keturunan Rom yang bernama Valentine.

Kesan penentangan itu telah menyebabkan Valentine dihukum bunuh oleh pemerintah terbabit pada 14 Februari 270 Masihi dan hukuman itu telah menimbulkan perasaan sedih yang mendalam dalam kalangan pengikut Valentine.

Oleh itu, untuk mengenang jasa dan sumbangan Valentine, pengikutnya telah menjadikan tarikh itu sebagai hari berkabung setiap tahun.

“Tetapi, pemerintah Romawi Kuno itu berjaya mempengaruhi para pengikut Valentine supaya mengubah sambutan itu daripada mengingati kepada upacara pesta atau perayaan yang bukan agama.

“Mereka mengadakan jamuan makan, berkasih sayang dan lain-lain. Tradisi itu diteruskan sehingga hari ini dan sebahagian besar golongan muda serta remaja Islam turut meraikannya dan telah menjadi trend pada hari ini,” katanya.