Hari bersejarah tersebut menjadi pemangkin kepada politik matang orang Melayu/Islam. Tanpa mengira parti politik mereka sepakat meluluskan rang undang-undang tersebut tanpa sebarang bantahan dengan menggalas makna politik sebenar di dalam Islam iaitu menegakkan agama dan bersiasah untuk dunia dengan agama tersebut.

Kita sudah tidak punya alasan lagi membelakangi undang-undang Allah ini.

Majlis Peguam Malaysia pula dengan pantas mengeluarkan ketetapan bahawa rang undang-undang yang telah diluluskan tersebut tidak berperlembagaan. Walaupun pada ketika itu rang undang-undang tersebut masih belum disiarkan secara rasmi untuk tatapan awam, Majlis Peguam telah pun membuat pendiriannya sendiri.

Semasa menulis artikel ini, penulis difahamkan pendirian Majlis Peguam Malaysia tersebut tidak dipersetujui oleh beberapa Jawatankuasa Peguam Negeri yang telah menzahirkan secara bertulis akan pandangan mereka itu.

Tidak habis-habis Majlis Peguam Malaysia berhujah berpaksikan Malaysia sebuah negara sekular, sedangkan perkataan sekular tersebut tidak terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan. Menyoroti sejarah, kita akan dapati sebagaimana tertulis di dalam Laporan Suruhanjaya Reid bahawa Parti Perikatan pernah menyarankan agar pernyataan Islam adalah agama negara perlu disertakan dengan jaminan kebebasan beragama bagi bukan Islam dan tidak menjejaskan ciri-ciri sekular negara.

Namun kehendak mempertahankan ciri sekular negara tersebut tidak diterima apabila Perlembagaan Persekutuan dimuktamadkan. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa awal-awal lagi isu sekular negara ini telah pun dinyahkan daripada Perlembagaan Persekutuan.

Nilai sejarah

Setelah lebih 57 tahun merdeka, Majlis Peguam Malaysia masih tidak faham nilai sejarah ini ataupun sengaja mahu memadamkan sejarah perundangan negara agar isu sebegini dapat ditegakkan.

Selain itu, hujah Majlis Peguam Malaysia juga banyak bergantung kepada penghakiman di dalam kes Che Omar Che Soh yang didakwa menyatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Penulis berbeza pandangan dengan Majlis Peguam kerana setelah membaca penghakiman tersebut tidak mendapati mana-mana bahagian di dalam penghakiman tersebut yang menyatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Meskipun penghakiman tersebut menyatakan Malaysia sebuah negara sekular, penghakiman terkemudian umpamanya di dalam kes Lina Joy telah mengakaskan (memutuskan sebaliknya)

penghakiman tersebut. Tun Fairuz ketika itu Ketua Hakim Negara telah memutuskan bahawa Islam bukan sekadar dogma-dogma atau ritual-ritual tetapi merupakan tata atur kehidupan yang lengkap mencakupi semua bidang aktiviti manusia persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman. Keluasan tafsiran Islam di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan ini menafikan Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Malah jaminan Perlembagaan Persekutuan setiap pengikut agama berhak mentadbir agamanya sendiri perlulah diberikan makna yang sewajarnya. Undang-Undang Jenayah Syariah yang termasuk dalamnya hudud, qisas dan takzir merupakan tuntutan di dalam agama Islam.

Oleh yang demikian, umat Islam sewajarnya dibenarkan mentadbir agama Islam dengan melaksanakan agama Islam sebagaimana yang ditafsirkan di dalam penghakiman Lina Joy di atas.

Sudah tuntas daripada aspek sejarah dan kehakiman menafikan dakwaan Malaysia adalah sebuah negara sekular. Sekularisme telah ditolak awal-awal lagi di dalam Perlembagaan Persekutuan kerana terdapat pelbagai peruntukan yang memberikan keistimewaan kepada agama, khususnya agama Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Nilai dengan minda bukan emosi

BERBALIK kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Negeri Kelantan) 2015 di atas, kelulusan di peringkat Dewan Undangan negeri (DUN) tersebut hanyalah pengakhiran babak pertama ke arah melaksanakan undang-undang jenayah syariah sepenuhnya. Masih terdapat beberapa tindakan di peringkat negeri dan Pusat yang perlu diambil bagi merealisasikan tujuan enakmen tersebut.

Akta Bidang kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 yang mengehadkan hukuman yang boleh dibuat oleh Dewan Undangan Negeri terhadap kesalahan melanggar perintah agama Islam sekadar tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan hendaklah dipinda bagi menzahirkan hukuman yang lebih berat sejajar dengan undang-undang syariah.

Malahan beberapa peruntukan undang-undang lain di peringkat negeri seperti Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah dan Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah juga perlu dikemaskini bagi mencakupi kehendak sabitan kesalahan hudud, qisas dan taazir.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah ini sebenarnya telah menyerlahkan siapa kawan dan siapa lawan sebenarnya. Kalangan yang menentang pula tiba-tiba sahaja membuat taakulan pelbagai yang terhasil daripada kedangkalan ilmu perundangan syariah mereka sendiri. Pelbagai tohmahan dan dakwaan dibuat yang langsung tidak mempunyai asas di dalam perundangan syariah itu sendiri. Malah mereka mencampur aduk pula antara hudud, qisas dan takzir.

Penulis mengajak para penentang undang-undang jenayah syariah ini mengkaji semula pandangan mereka. Nilailah dengan minda yang terbuka bukan dengan emosi yang tidak tentu hala. PPMM bersedia berdialog dengan mana-mana pihak yang ikhlas mahukan penerangan berkaitan dengan undang-undang jenayah syariah ini. Adalah amat tidak adil anda membuat suatu ketetapan tanpa ilmu yang mendasar di dalam sesuatu bidang itu.

Ahlan wa sahlan Ya Hudud!